05 Disember 2012

Cuba elak ditahan polis, lelaki terjun sungai tinggalkan isteri dan anak

21 Muharram 1433H. [MOD] -

KUALA TERENGGANU - Seorang lelaki sanggup meninggalkan isteri dan dua anak yang masih kecil di dalam kereta dipandunya, sebelum nekad terjun ke dalam sungai semata-mata ingin meloloskan diri daripada ditahan polis dalam satu kejadian di Kampung Teluk Pasu di sini, petang kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 6.15 petang itu, lelaki berusia 28 tahun itu cuba mengelak daripada ditangkap setelah dikehendaki polis berhubung beberapa kes jenayah curi kereta di sekitar Pasar raya Giant dan Mydin Mall, di sini.

Menurut sumber, semasa kejadian, suspek yang menaiki kereta jenis Perodua Viva diekori Unit Kereta Ronda MPV Balai Polis Chabang Tiga di sekitar Pasar Chabang Tiga, di sini.

“Bagaimanapun, suspek yang menyedari dirinya diekori terus memecut laju keretanya menghala ke Kampung Teluk Pasu, di sini, dan polis turut mengejarnya sejauh kira-kira 15 kilometer.

“Ketika itu, suspek merempuh beberapa lampu isyarat sebelum nekad terjun ke dalam Sungai Manir apabila menyedari dirinya telah dikepung polis dengan bantuan Rakan Cegah Jenayah (RCJ) Terengganu,” katanya.

Menurutnya, suspek turut berlakon pengsan apabila dia gagal berenang ke seberang, sebelum diberkas polis dan dibawa ke Balai Polis Manir, untuk siasatan lanjut.

Difahamkan, suspek yang baru sahaja tamat menjalani hukuman penjara pada Julai lalu atas kesalahan mencuri kereta mempunyai beberapa rekod jenayah, termasuk kes curi kereta dan pecah cermin kereta.

Sementara itu, Ketua Polis Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Zamri Shamsuddin ketika dihubungi mengesahkan penangkapan suspek yang berasal dari Kampung Sekati, di sini.

“Suspek kini direman sehingga 8 Disember depan untuk disiasat di bawah Seksyen 379A Kanun Keseksaan kerana mencuri kenderaan,” katanya.

sinar/-

Tiada ulasan: