05 Disember 2012

MEMELIHARA JATI DIRI MUSLIM

21 Muharram 1433H. [MOD] -


اَلْحَمْدُ للهِ الَّذِيْ أَرْسَلَ رَسُوْلَهُ بِالهُدَى وَدِيْنِ الحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّيْنِ كُلِّهِ
وَلَوْ كَرِهَ المُشْرِكُوْنَ . أَشْهَدُ أَنْ لاإِلهَ إِلا اللهُ  وَأَشْهَدُ أَنَّ مُحَمَّدًا رَسُوْلُ  الله . اللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ
أَمَّا بَعْدُ ، فَيَا عِبَادَ اللهِ ! اتَّقُوْا اللهَ  حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاتمَوُتُنَّ إِلا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ

Saya  menyeru diri saya dan juga sidang Jumaat sekalian agar kita sama-sama  bersyukur dan meningkatkan ketaqwaan kepada Allah s.w.t. dengan  melakukan segala suruhan-Nya dan menjauhi segala yang dilarangan, mudah-mudahan kita menjadi insan yang beriman, bertaqwa serta selamat di dunia dan di akhirat.

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,
Islam menganjurkan umatnya agar berakhlak dan berbudi pekerti mulia dalam setiap perbuatan mahupun tuturkata. Kerana kemuliaan dan kehormatan seseorang itu adalah dinilai melalui ketinggian keperibadian akhlak. Sejarah telah membuktikan bahawa umat yang maju adalah umat yang memiliki keperibadian akhlak yang tinggi sebaliknya umat yang tidak berakhlak akan menyebabkan ia menjadi lemah dan membawa kehancuran.         Kerana itulah, misi utama diutuskan junjungan besar nabi Muhammad s.a.w. adalah untuk menyempurnakan akhlak manusia. Sebagaimana sabdanya :
إِنَّمَا بُعِثْتُ  ِلأُتَمِّمَ مَكَارِمَ اْلأَخْلاَقِ
Maksudnya : “ Sesungguhnya aku diutuskan hanyalah untuk menyempurnakan akhlak yang  mulia ” ( H.R. Thabrani )


Sidang Jumaat Yang Berbahagia,
Kita sering mendengar tentang masalah yang menimpa umat Islam. Sesungguhnya seluruh dunia sekarang ini sedang menghadapi krisis keruntuhan akhlak yang cukup dahsyat. Sekiranya keadaan ini tidak dibendung dan diatasi sudah pasti akan membawa umat Islam ke lembah kehinaan dan kemurkaan Allah s.w.t.
Terdapat segelintir daripada kita yang telah hilang keperibadian sebagai seorang mukmin sejati, mereka seolah-olah kembali hidup seperti di zaman jahiliah. Dan yang lebih parah lagi, ada juga yang memisahkan dan mengasingkan urusan agama dengan urusan hidup seharian. Bahkan beranggapan bahawa agama tidak memberi apa-apa sumbangan dalam pembangunan bangsa dan negara.
Sebahagian daripada kita percaya bahawa hanya ilmu-ilmu dunia seperti ilmu sains dan seumpamanya sahaja yang mampu membawa manusia kepada kemajuan dan ketamadunan.


Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,
Terdapat segelintir masyarakat hari ini beranggapan bahawa akhlak merupakan hal individu yang tidak ada hubung kait dengan kuasa pemerintah serta mereka tidak mahu pihak berkuasa campurtangan dalam menentukan urusan peribadi mereka. Bahkan mereka tanpa segan silu mendesak agar setiap individu diberi kebebasan mutlak tanpa perlu kepada apa-apa sekatan atau undang-undang atas alasan sebarang sekatan adalah bertentangan dengan hak asasi manusia dan menggugat hak kebebasan individu.
Maka, fahaman seumpama ini sangat-sangat bertentangan dengan ajaran Islam yang dibawa oleh junjungan besar nabi Muhammad s.a.w., kerana Islam merupakan suatu agama yang sempurna lagi lengkap mengatur seluruh kehidupan manusia meliputi pelbagai bidang seperti ibadah, mu’amalat, munakahat, jenayah dan sebagainya.
Dalam Islam, kemajuan material sahaja bukanlah kamajuan yang utama yang ingin dicapai, kerana Islam juga menitikberatkan soal pembangunan insan iaitu melahirkan insan yang berakhlak mulia, berilmu pengetahuan, bermanfaat untuk diri sendiri, masyarakat dan negara.

Hadirin Sidang Jumaat Yang Dikasihi Allah,
Justeru, saya ingin mengajak tuan-tuan yang berada di hadapan saya, agar sama-sama menghayati dan memahami tanggungjawab memelihara jati diri sebagai seorang muslim dengan melaksanakan perkara-perkara seperti berikut :-

Pertama : Memiliki keimanan yang mantap
Hidup kita hendaklah sentiasa dipandu dengan keimanan dan ketakwaan kepada Allah s.w.t. Sekiranya berlaku pengabaian terhadap pengukuhan keimanan kepada Allah, maka sudah tentu perjalanan hidup seseorang akan mudah diseleweng dan terpesong menurut kemahuan hawa nafsu semata-mata. Maka kerana itulah keimanan yang mantap adalah penting sebagai penghalang daripada terjerumus ke lembah maksiat, di samping ia mengatur perjalanan hidup yang selamat dan diredhai Allah s.w.t. Firman Allah dalam surah al-Anfal ayat 2 :
Maksudnya : “Sesungguhnya orang-orang yang beriman itu (yang sempurna imannya) ialah yang apabila disebut nama Allh (dan sifat-sifatNya) gementarlah hati mereka, dan apabila dibacakan kepada mereka ayat-ayatNya, menjadikan mereka bertambah iman, dan kepada tuhan mereka jualah mereka berserah (bertawakal )”.

Kedua : Berusaha menjadi insan berjiwa merdeka
Hendaklah sentiasa berusaha membebaskan diri dari sebarang belenggu, terutama belenggu penjajahan pemikiran-pemikiran yang sesat dan menyesatkan. Seterusnya kita hendaklah menolak fahaman serta amalan-amalan negatif yang boleh merosakkan dan menghancurkan umat Islam.
Oleh itu, perkara yang paling utama ialah membebaskan pemikiran kita dari sebarang bentuk ketergantungan kepada sesuatu yang lain selain dari Allah s.w.t. yang boleh membawa kita kepada syirik terhadap Allah.

Ketiga : Melaksanakan Amar Ma’aruf dan Nahi Mungkar
Sudah tentu kita tidak dapat lari dari tanggungjawab melaksanakan semua perintah Allah dan perkara-perkara ma’aruf serta meninggalkan semua yang mungkar, kerana ianya merupakan kewajipan kepada kita semua. Maka ia merupakan satu keutamaan dalam Islam bagi membawa umat manusia ke arah keselamatan dan kesejahteraan. Firman Allah dalam surah ali-Imran ayat 110 :
Yang bermaksud : “Kamu (wahai umat Muhammad) adalah sebaik-baik umat yang dilahirkan bagi (faedah) umat manusia, (kerana) kamu menyuruh berbuat segala perkara yang baik, dan melarang daripada segala perkara yang salah (buruk dan keji), serta kamu pula beriman kepada Allah (dengan sebenar-benar iman)”.

Dalam ayat ini, sekiranya setiap muslim melaksanakan tanggungjawab amar ma’aruf dan nahi mungkar, maka sudah pasti kita akan menjadi “khaira ummah” iaitu ummah yang unggul dalam erti kata menjadi ummah contoh yang diikuti sepanjang zaman.

بَارَكَ اللهُ لِىْ وَلَكُمْ فِى الْقُرْءَانِ الْعَظِيْمِ، وَنَفَعَنِى وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ اْلآيَاتِ وَالذِّكْرِ الْحَكِيْمِ، وَتَقَبَّلَ مِنِّىْ وَمِنْكُمْ تِلاَوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ الْعَلِيْمُ، أَقُولُ قَوْلِى هَذَا وَأَسْتَغْفِرُ اللهَ الْعَظِيْمَ لِىْ وَلَكُمْ، وَلِسَائِرِ الْمُسْلِمِيْنَ وَالْمُسْلِمَاتِ، وَالْمُؤْمِنِيْنَ وَالْمُؤْمِنَاتِ، فَاسْتَغْفِرُوهُ فَيَا فَوْزَ الْمُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَـا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ.

Bahagian Pengurusan Masjid, Jabatan Agama Islam Perak






Tiada ulasan: