30 September 2011

Akta ganti ISA mesti disekat

3 Zulkaedah 1432H. [MOD] -

MEMANSUHKAN ISA adalah tindakan yang betul dan ia mesti dialu-alukan, tetapi ganti ISA yang dicadangkan oleh kerajaan tidaklah dialu-alukan dan tidak perlu menunggu-nunggu bentuk dan rupanya.

Jika Tunku Abdul Rahman Putra selepas bersara dari Perdana Menteri menyesal ISA diadakan kerana ia telah disalah gunakan, sedang ISA itu digubal semasa pentadbirannya.

Sekali pun ISA yang Tunku buat adalah ditujukan untuk komunis tetapi ia telah digunakan sama untuk yang lain dari komunis.

Tan Sri Abdullah Ahmad Kok Lanas semasa menjadi Anggota Parlimen menyebut betapa penahanan empat orang Anggota Parlimen semasa dia menjadi Anggota Dewan Rakyat ditahan secara menyalahgunakan ISA. Empat orang yang disebutkan dalam ucapannya di Parlimen ditahan di zaman empat Perdana Menteri yang berlainan.

Keempat-empat MP mangsa ISA itu ialah Nik Arshad Abdullah (PAS-Pengkalan Chepa) ditahan di zaman Tunku Abdul Rahman, Datuk Seri Anwar Ibrahim (BN-Permatang Pauh, Timbalan Perdana Menteri) ditahan oleh Tun Razak, Tan Sri Abdullah sendiri (BN-Kok Lanas) oleh Tun Hussein Onn dan Lim Kit Siang di bawah Dr. Mahathir.

Ertinya setiap Perdana Menteri sejak Tunku hingga kepada Dr. Mahathir telah menyalahgunakan ISA. Tiada sebarang jawapan diberi kepada kenyataan Tan Sri dari BN itu baik oleh menteri mahupun polis.

Maka ganti ISA selagi ada tahanan tanpa bicara selain dari ia adalah jelmaan ISA, tetapi satu undang-undang zalim atau drakunin. Ia tertakluk kepada salah guna. Maka akta ganti itu mesti ditentang.

Jika polis sedia memberi permit tunjuk perasaan aman kerana akta polis pun dikatakan hendak dipinda, maka Datuk Ambiga yang mengepalai Bersih 2.0 boleh memikirkan mengadakannya lagi.

Sekalipun MP Pakatan Rakyat telah berkurangan, maka sekalian MP yang tinggal jangan menguzurkan diri, datang membahas dan menentang rang itu nanti.

Pakatan Rakyat mesti bertegas dengan janjinya iaitu ISA akan dimansuhkan jika ia berjaya mengambil kuasa Putrajaya. Sekarang Perdana Menteri Najib menjanjikan ia akan dimansuhkan. Yang ditunggu ialah bila ia hendak dimansuhkan dan bukan dua ganti yang dijanjikannya.

Akta ganti itu dipercayai dibentang sebelum Parlimen dibubarkan dan ia hendak digubal menjelang PRU 13.

Buat masa ini semua sudah setuju ISA itu jahat dan tidak boleh dipakai lagi. Jika ia boleh dipakai tentu Perdana Menteri tidak mencadangkan ia akan dimansuhkan. Ini bererti kerajaan juga telah mengaku bahawa ia mesti dimansuhkan.

Kalau akta itu ada baiknya Najib tidak wajar berjanji untuk memansuhkannya. Bukankah logiknya dipinda saja mana yang dirasa tidak baik. Kalau Najib mengira tahanan untuk disiasat tak perlu sampai 60 hari, pinda saja jadi seminggu atau 20 hari.

Kalau tahan di Kamunting terlalu lama bagi dua tahun. Pendekkan saja kepada setahun.

Oleh kerana ISA itu adalah zalim walau pun tahan tanpa bicara sekadar beberapa hari, maka Najib sendiri mengaku akan sialnya, maka ia terpaksa dimansuhkan.

Kalau ia tidak dimansuhkan Pakatan Rakyat akan memansuhkannya dalam masa 100 hari atau kurang dari masa itu sebaik ia mengambil alih Putrajaya.

Dengan janji Buku Jingga Pakatan Rakyat itu, Gerakan yang sudah kalah itu tidak akan dapat menebus kekalahannya, manakala MCA pula lebih baik dimansuhkan saja kerana ia tidak mungkin dapat mempertahankan kerusi yang ada.

MCA tidak akan dapat membantu BN lagi. Dengan memansuhkan ISA, harapan MCA dalam PRU 13 nanti ibarat harap ada percaya tidak.

Jika akta ganti itu dapat diadakan sebelum PRU 13, dengan majoriti kecil BN sekarang, akta itu akan dilihat sebagai ganti sementara.

Pakatan Rakyat mesti menolak rang itu nanti dan menegaskan jika ia diluluskan, ia tetap akan dimansuh pula sebaik saja BN tidak dapat membentuk kerajaan.

Jika benar ISA hendak dimansuhkan oleh Najib, ia akan dimansuhkan pada hari rang ganti itu akan dibentangkan. Kalau lulus juga, ia akan dimansuhkan pula oleh kerajaan Pakatan lepas PRU 13.

Dalam masa kurang dari enam bulan akan datang kita boleh melihat dua akta mansuh. Mula-mula BN mansuhkan ISA. Lepas itu kerajaan PR pula mansuhkan bakal akta yang Najib cadangkan.

harakahdaily/-

Tiada ulasan: