30 September 2011

Jom Shopping Sungai Pinang Dapat Sambutan Luar Biasa

3 Zulkaedah 1432H. [MOD] -

Program 'Jom Shopping bersama Adun' yang diperkenalkan kerajaan Selangor pada 15 Julai lalu bagi meraikan sumbangan warga emas kepada negeri itu diteruskan dengan kali ini memperlihatkan pemberian baucar sejumlah RM100 kepada 100 warga emas yang berdaftar di bawah Skim Mesra Usia Emas (SMUE).

Program yang berlangsung di pasaraya Tesco Setia Alam itu memberi peluang kepada warga emas untuk berbelanja tanpa sekatan sambil beramah mesra bersama pemimpin.

Program anjuran Dewan Undangan Negeri (Dun) Sungai Pinang yang bermula pada pukul 11 pagi itu disertai Speaker Dun Selangor yang juga merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sungai Pinang, Datuk Teng Chang Khim.

Menurut Teng, program 'Jom Shopping' kendalian Dun Sungai Pinang adalah program kali kedua yang dianjurkan di kawasan itu dalam tempoh sebulan dan menerima sambutan yang menggalakkan daripada warga emas berbilang kaum.

Teng berkata, 'Jom Shopping' menjadi program paling popular di kalangan warga emas sehingga kini dan beliau berharap supaya ia diteruskan walaupun peruntukan bagi pelaksanaan program ini adalah terhad.

"Oleh itu saya berharap anak syarikat kita, khususnya Kumpulan Semesta Sdn Bhd yang terlibat dalam perlombongan pasir ini dapat memperolehi keuntungan yang lebih pada tahun hadapan juga tahun ini supaya lebih banyak keuntungan itu dapat diagihkan kepada warga emas dalam menyertai program Jom Shopping ini."

Jelas Teng, program 'Jom Shopping' Dun Sungai Pinang yang diadakan buat pertama kali pada bulan lalu memberi tumpuan khusus kepada warga emas berbangsa Melayu sempena sambutan Aidilfitri.

Manakala pemberian baucar kali kedua ini lebih tertumpu kepada warga emas berbangsa Cina memandangkan bilangan mereka yang mendaftar di bawah SMUE adalah besar di kawasan itu.

"Bilangan yang mendaftar sudah melebihi 4000. Jadi mengikut kadar ini kalau setiap kali kita bawa 100 orang, bererti perlu ambil masa empat tahun untuk dihabiskan. Oleh itu saya berharap peruntukan yang lebih banyak dapat diberikan dan kalau hendak peruntukan yang lebih tinggi, kita perlu mendapatkan keuntungan yang lebih banyak daripada pasir supaya program ini boleh dirancakkan lagi.

Bererti dalam sebulan kita boleh bawa antara 200 hingga 300 warga emas dan memendekkan masa warga emas yang sedang menunggu untuk menyertai program ini." katanya.

Program 'Jom Shopping' ini merupakan sebahagian daripada program untuk warga emas berusia 60 tahun ke atas, yang telah berdaftar dengan SMUE melalui program Merakyatkan Ekonomi Selangor (MES) yang diperkenalkan kerajaan negeri sejak 2008.

Sebanyak RM10 juta diperuntukkan untuk program ini kepada 100,000 warga emas melalui keuntungan perlombongan pasir yang disalurkan anak syarikat Menteri Besar Incorporated (MBI), Kumpulan Semesta Sdn Bhd (KSSB).

Tujuan program ini bukan sahaja untuk memastikan golongan warga emas boleh berbelanja melalui pemberian baucar sebanyak RM100, tetapi turut memberi peluang kepada mereka untuk bersosial bersama pimpinan kawasan terpilih.

tv news/-

Tiada ulasan: