26 Januari 2010

'King Ghaz' meninggal dunia

10 Safar 1431H

Bekas menteri dalam negeri Tun Ghazali Shafie meninggal dunia di kediamannya di Subang Jaya kira-kira 7.45 malam ini.

Kematian Ghazali, 88, disahkan oleh cucunya Farah ketika dihubungi.

Ghazali, dilahirkan di Kuala Lipis, Pahang, meninggalkan dua orang anak lelaki Bachtiaer dan Sheriffudin.

Isteri beliau Toh Puan Khatijah Abdul Majid meninggal dunia pada April 2008.

Beliau turut digelar "King Ghaz" kerana tegas dalam menjalankan tugas-tugasnya.

Allahyarham mula berkecimpung dalam bidang politik dengan menyertai Persatuan Melayu Pahang pada 1946 yang pada mulanya melakukan kerja-kerja kebajikan sebelum diserap memasuki Umno.

Pada tahun 1958 beliau dipilih menjadi Ahli Jawatankuasa Politik Umno sehingga 1978.

Beliau pernah beberapa kali menjawat jawatan Ahli Majlis Tertinggi Umno dan merupakan naib presiden Umno pada 1981.

Ghazali pernah dilantik sebagai Senator pada tahun 1970 hingga 1972.

Allahyarham bertanding dalam pilihan raya umum tahun 1974 di kawasan Parlimen Lipis di mana beliau menang tanpa bertanding.

Beliau memulakan kerjaya dengan kerajaan pada 1941 sebagai ahli Pasukan Sukarelawan Malaya.

Ghazali adalah seorang yang dikenali sangat tegas dalam segala kerja yang dibuatnya sehinggakan beliau digelar 'King Ghaz'.

Bagi mereka yang mengenali beliau termasuk para wartawan yang pernah menemuramah beliau, Ghazali sentiasa mengharapkan agar mereka mempunyai pengetahuan lengkap mengenai sesuatu isu atau perkara yang ingin ditanya pada beliau.

Ini menyebabkan ramai wartawan cukup berhati-hati apabila berdepan dengan beliau ketika membuat liputan.

Allahyarham berkhidmat di bawah empat perdana menteri bermula dari zaman Tunku Abdul Rahman sehingga era Tun Dr Mahathir Mohamad dan turut dikenali di peringkat antarabangsa ketika menjadi menteri luar selain berkhidmat dalam beberapa pertubuhan dan misi antarabangsa.

Ghazali terselamat dalam suatu kemalangan kapal terbang di Kampung Janda Baik pada 10 Jan 1982 yang mengorbankan pengawal peribadi dan pembantu juruterbangnya - peristiwa yang mengejutkan negara pada masa itu.

- Malaysiakini/-

1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

teringat saya masa dia jatuh dgn heli dulu,miracle.sapa lagi yg selamat bersama dia masa tu