KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Shah Alam Khalid Samad menyifatkan pelantikan Bekas Ahli Parlimen PKR Bayan Baru, Zahrain Hashim sebagai duta ke Indonesia adalah ganjaran dan bayaran balik atas jasa pengkianatan yang dilakukan kepada PKR dan Pakatan Rakyat.
Katanya, itulah yang menjadi budaya di dalam Umno BN hari ini bukan memberi jawatan atas dasar kelayakan tetapi berdasarkan politik semata-mata.
Malah katanya, pelantikan ini memberi gambaran sebenar kepada negara luar kerana mereka sendiri akan menilai perkhidmatan berdasarkan penghantaran duta ke luar negara.
"Duta yang dilantik mestilah berintegriti bukan memberi ganjaran politik, ini kerana imej yang ditunjukkan adalah imej yang tidak baik," katanya kepada Harakahdaily.
Ketika ditanya adakah Zahrain layak dilantik sebagai duta, Khalid berkata, Zahrain tidak nampak ada kemampuan itu memandangkan di dalam Parlimen pun beliau kurang menyerlah dari segi idea pembangunan negara.
Melainkan, tambahnya Zahrain hanya lantang menyerang Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim sahaja di dalam parlimen.
"Kalau mesej itu sahaja yang nampak ia tidak ada benda yang boleh dibanggakan sepatutnya membawa idea-idea yang bernas untuk Malaysia," katanya.
Menteri Luar Datuk Anifah Aman mengesahkan Zahrain Hashim dilantik sebagai duta ke Indonesia.
Zahrain adalah salah seorang pemimpin PKR yang meninggalkan parti itu selepas pilihanraya 2008 dan sejak itu beliau antara yang aktif menyerang Anwar Ibrahim dan membela Najib.
Harakahdaily
Tiada ulasan:
Catat Ulasan