18 Februari 2013

Pemuda pastikan 17,000 pekerjaan terhasil

7 Rabi'ul Akhir 1434 H. [MOD] -



KUALA TERENGGANU: Pemuda PAS Terengganu akan memastikan rancangan untuk melahirkan 17,000 peluang pekerjaan di Terengganu akan menjadi kenyataan.

Ketuanya, Mohamad Nor Hamzah (gambar) berkata, Pemuda PAS akan menggunakan segala sumbernya untuk mempastikan cadangan yang dibuat melalui manisfesto PAS Terengganu itu menjadi kenyataan.

"Kita akan mempastikan segala sumber yang kita ada dari segi pemikiran dan kepakarannya digunakan sepenuhnya untuk menjayakan rancangan ini," kata Mohamad Nor kepada Harakahdaily.

PAS Terengganu sebelum ini mengemukakan manifesto 10 perkara untuk dilaksanakan termasuk menghasilkan 17,000 peluang pekerjaan kepada rakyat negeri itu.

Ia dibentangkan dalam seminar manifesto PAS Terengganu yang turut disertai oleh Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang yang juga Anggota Parlimen Marang.

"Dengan segala perancangan yang kita buat jika kita memerintah nanti, saya yakin kita berjaya menyediakan 17,000 peluang pekerjaan itu," kata Timbalan Pesuruhjaya PAS Terengganu, Dr Alias Abdul Razak.

Antara perkara yang dirancangkan di Terengganu, katanya, adalah membina lebuhraya persisiran pantai Terengganu dari Kemaman sehinggalah ke Besut.

Di samping mempercepatkan perjalanan dan mobiliti barangan, ia juga bertujuan meningkatkan industri agro tourism Terengganu melalui barangan kraf tempatan.

Menurut Mohamad Nor yang merupakan Adun Bukit Payong, pihaknya sudah beberapa kali membuat perbincangan mengenai perkara itu.

"Kita ada arkitek terkenal Raja Baharin untuk membuat rekabentuk terbaik, kita ada jurutera yang hebat dan kita juga ada ahli perniagaan yang baik untuk merancang perkara ini," katanya.

Di samping pembangunan fizikal, bandar-bandar lestari akan diwujudkan sepanjang lebuhraya ini untuk memasarkan produk Terengganu di sepanjang lebuhraya ini.

Sekurang-kurangnya lima hentian R & R pelancongan akan dibina sepanjang lebuhraya ini.

"Kalau R & R Plus, orang ramai hanya berhenti sekejap sahaja, kita akan jadikan R & R kita pusat pelancongan yang lengkap dengan kemudahan untuk menikmati keindahan pantainya yang cantik dan pusat pemasaran produk tempatan.

"Misalnya Sata terkenal di Kuala Kemaman. Kita akan pastikan satu R & R di Kemaman akan penuh dengan produk ini," katanya.

Selain itu, lemang di Kijal, keropok di Marang, kraf tangan di Rusila, ikan celup tepong di Setiu akan menjadi produk-produk penting untuk dipasarkan R & R pelancongan ini.

"Kalau di Jepun terkenal dengan satu daerah satu produk, kita akan perkenalkan satu R & R pelancongan satu produk," kata Mohamad Nor.

Di samping itu, kata Mohamad Nor, R & R ini akan menghasilkan pusat pertumbuhan baru di sekitarnya dan akan digunakan untuk memajukan industri pendidikan termasuk di Bukit Kor, Marang.

HARAKAHDAILY/-

Tiada ulasan: