18 Februari 2013

S'gor peruntuk RM1.68 juta bantu 150,000 ibu tunggal

7 Rabi'ul Akhir 1434 H. [MOD] -

KUALA LUMPUR: Dijangkakan seramai 150,000 golongan ibu tunggal di Selangor akan mendapat manfaat bantuan kebajikan dengan pelancaran program terbaru Jom Shopping Ibu Tunggal yang diperkenal Kerajaan Negeri Selangor.

Menurut Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, kerajaan negeri Selangor dibawah Pakatan Rakyat telah memperuntukkan sejumlah RM1.68 juta untuk tujuan itu.

Menurutnya, program tersebut merupakan satu amanah dan tanggungjawab kerajaan negeri dalam mengembalikan hasil negerui kepada rakyat.

“Kita faham masalah utama rakyat ialah kurang pendapatan, maka kerajaan negeri perlu bijak menguruskan wang jom shopping kepada ibu tunggal," katanya ketika merasmikan program itu di Pasaraya Giant Kota Damansara kelmarin.

Untuk program Jom Shopping Ibu Tunggal ini, mana-mana ibu tunggal berumur antara 19 hingga 59 tahun yang lahir dan bermastautin di Selangor layak untuk memohon.

Permohonan boleh dikemukakan dengan mendaftar di Pusat Khidmat Dun atau secara atas talian di E-bu.selangor.gov.my.

Sehingga kini seramai 25, 000 ibu tunggal sudah mendaftar di portal e-bu dengan 18,001 adalah berbangsa Melayu, 1574 berbangsa India, 792 orang berbangsa Cina dan selebihnya tergolong dalam lain-lain bangsa.

“Ini sudah dibuktikan sepanjang lima tahun pentadbiran Kerajaan Pakatan di Selangor dengan penganjuran pelbagai program kebajikan khusus untuk rakyat,” katanya dipetik Selangorku.

Dalam program tersebut kelmarin, seramai 150 ibu tunggal yang terpilih daripada sembilan Dun di negeri ini menjadi kumpulan pertama yang menikmati inisiatif tersebut.

Mereka adalah dari DunBatu Tiga, Kota Anggerik, Taman Medan, Meru, Seri Setia, Paya Jaras, Bukit Lanjan, Gombak Setia dan Kota Damansara.

Mereka dibawa membeli belah barangan keperluan di pasaraya terbabit dengan ditemani sendiri oleh Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim serta isteri Puan Sri Salbiah Tunut.

Hadir sama dalam pelancaran program tersebut ialah Exco Hal Ehwal Wanita, Rodziah Ismail, Adun Kota Anggerik, Dr. Yaakob Sapari, Adun Taman Medan, Haniza Talha, Adun Meru, Dr. Abdul Rani Othman dan Pengarah Komunikasi GCH Retail (Malaysia) Sdn Bhd, Ian Cruddas.

harakahdaily/-

Tiada ulasan: