18 Februari 2013

63 terbunuh serangan bom di pasar Pakistan

7 Rabi'ul Akhir 1434 H. [MOD] -

QUETTA - Sebutir bom yang disasarkan terhadap penduduk Syiah di sebuah pasar di barat daya Pakistan meragut sekurang-kurangnya 63 nyawa kelmarin termasuk wanita dan kanak-kanak, kata beberapa pegawai. 

"Seramai 180 orang cedera dalam letupan itu dengan kebanyakan mangsa terdiri daripada komuniti Syiah," kata ketua polis di sini, Zubair Mehmood.

Menurutnya, bom yang dipasang di dalam sebuah tangki air itu meletup di bandar Hazara, pinggir bandar raya ini, dalam wilayah Baluchistan sekitar pukul 6 petang (waktu Pakistan).

Zubair berkata, tangki air berisi bahan letupan itu diletakkan berhampiran sebatang tiang bangunan dua tingkat yang runtuh ekoran letupan kuat.

"Kami khuatir beberapa orang masih terperangkap dalam timbunan runtuhan. Kerja-kerja menyelamat sedang dilakukan tetapi peluang mereka selamat tipis," ujarnya.

Dalam perkembangan berkaitan, seorang pegawai kanan polis, Wazir Khan Nasir berkata, pengeboman tersebut merupakan serangan antara mazhab.

Seorang jurucakap kumpulan militan Sunnah yang diharamkan di Pakistan, Lashkar-e-Jangvi mengaku bertanggungjawab melancarkan serangan kejam itu.

Baluchistan yang bersempadan dengan Iran dan Afghanistan semakin dihimpit keganasan antara pengikut Sunnah dan Syiah.

Satu perlima daripada 180 juta penduduk Pakistan terdiri daripada pengikut Syiah. - AFP

Tiada ulasan: