7 Rabi'ul Akhir 1434 H. [MOD] -
(Krisis air di Pahang hanya dilaporkan dalam media sosial dan ditutup oleh media tradisional Umno)
TEMERLOH: Serupa tapi tak sama. Krisis sama, lokasi tidak serupa. Satu krisis berlaku di war-war berlaku sebuah negeri pentadbiran Pakatan Rakyat, manakala satu lagi krisis berlaku di negeri asal Perdana Menteri, Pahang.
Namun, krisis air yang dialami Selangor penghujung tahun lalu mendapat liputan yang begitu meluas di media massa, khususnya arus perdana.Terbentanglah di depan mata, kononnya pentadbiran Pakatan Rakyat di Selangor begitu lemah dalam menguruskan sumber air.
Sayangnya, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, terlepas pandang negeri kelahirannya sendiri berhubung isu air ini.
Ketika beliau ghairah berjanji untuk memberikan bekalan air bersih untuk rakyat Kelantan, Najib terlupa terdapat beberapa kampung, khususnya di gugusan Bera yang menghadapi krisis air.
Jika di Kelantan, isu yang dimainkan ialah bekalan air bersih, sebaliknya di Bera ada penduduk yang langsung tidak menerima bekalan air ketika waktu puncak.
Khususnya di Felda Gugusan Bera yang meliputi Mayam, Purun, Bukit Mendi, Kumai sering menghadapi masalah bekalan air terputus, khususnya menjelang musim perayaan.Masalah tersebut menyebabkan ada di kalangan anak-anak penduduk terbabit enggan pulang bercuti ke kampung.
Bayangkan, ketika musim perayaan seperti bulan puasa atau hari raya, penduduk kampung berkenaan menghadapi masalah sedemikian.
Sedangkan, ketika musim perayaanlah penggunaan air meningkat apabila ahli keluarga pulang ke kampung halaman, selain dikunjungi sanak-saudara.
Masalah bekalan air di Bera ini sudah berlanjutan bertahun-tahun, biarpun Jabatan Bekalan Air Pahang (JBAP) telah diswastakan menjadi Perbadanan Air Pahang Berhad (PAPB).
Selain di kawasan felda tersebut, beberapa kampung tradisi di sekitar itu turut mengalami masalah serupa, iaitu di Kampung Kuala Triang, Kampung Batu Papan, dan Kampung Seberang Guai.
Sedangkan, kedudukan kampung-kampung tersebut bersebelahan dengan Sungai Pahang, selain loji air yang sepatutnya mampu menampung keperluan penduduk.
Yang DiPertua PAS Bera, Ustaz Sulaiman Mohd berkata segala kesukaran ini berpunca dari kegagalan PAPB yang tidak menyelenggara sistem pam air yang rosak.
Biarpun urusan air telah diswastakan, tiada sebarang penambahbaikan berikutan penswastaan tersebut, sebaliknya terus berlanjutan sehingga hari ini.
Lantaran itu, Sulaiman berkata Najib sepatutnya tidak wajar mencemuh negeri orang lain, sedangkan di negerinya sendiri mengalami krisis air.
"Ketika Najib sibuk menjanjikan bekalan air yang bersih di Kelantan, itupun jika menang pilihan raya, dia terlupa dan mungkin tidak tahu kebanyakan rakyat negerinya sendiri menghadapi masalah air yang lebih teruk," tegas beliau ketika dihubungi Wadah.
Malah, Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob turut mengakui keadaan tersebut, hingga mendesak semua wakil rakyat di Pahang menyerahkan senarai kawasan yang terlibat untuk tindakan susulan.
Selain di Bera, masalah krisis air turut mengganggu penduduk sekitar Kuantan, Temerloh, Jerantut dan juga Rompin. Ada ketikanya, gangguan bekalan air yang melanda Pahang bukan hanya satu hari, malah ada yang berlarutan hingga enam bulan.
Kesimpulannya, setelah 55 tahun merdeka, negeri Pahang terus dirundung masalah air yang tidak pernah selesai, sekalipun kerajaan yang memerintah adalah Barisan Nasional.
Walaupun ia merupakan negeri Perdana Menteri sendiri, malah pernah meluluskan peruntukan RM10 juta untuk menaik taraf loji air Batu Sawar ketika pilihan raya kecil (PRK) Kerdau, namun masalah air tidak pernah kunjung selesai.
harakahdaily/-
Tiada ulasan:
Catat Ulasan