15 April 2013

PAS Terengganu bakal buat kejutan 18 April

4 Jamadil Akhir 1434 H. [MOD] -

KUALA LUMPUR: Timbalan Pesuruhjaya PAS Terengganu, Ustaz Saiful Bahri Mamat berkata jangan terkejut jika pengisytiharan calon PAS negeri kali ini bakal memenuhi inspirasi anak muda.

Timbalan Pesuruhjaya PAS Terengganu, Ustaz Saiful Bahri Mamat berkata, pihaknya akan mengumumkan calon-calon yang bakal bertanding di parlimen dan Dun pada malam 18 April ini.

Jelasnya, ia ditangguhkan dari tarikh 11 April sebagaimana yang diumumkan sebelum ini memandangkan pihak SPR telah mengumumkan hari penamaan calon diadakan pada 20 April iaitu hari Sabtu dan tidak pada 14 April sebagaimana yang dijangkakan sebelum ini.

Tambahnya, timbulnya ulasan dan berita nakal seolah-olahnya penangguhan itu kerana timbulnya masalah dalaman parti Umno BN.

“Ianya tidak sebagaimana dakwaan bahkan PAS Terengganu kali ini lebih bersedia dengan gelombang rakyat serta kebangkitan anak muda.

“Sebab itu jangan terkejut jika pengisytiharan calon kali ini bakal memenuhi insirasi anak muda dengan calon-calon yang akan diumumkan nanti membariskan muka baru dan di kalangan orang muda,” tulis beliau di dalam blognya http://ustsaifulbahri.blogspot.com.

Beliau berkata, PAS Terengganu yang peka dengan perubahan yang dituntut rakyat dengan gelombang PAS Ganti Umno (PGU) dan bertemakan ‘Terengganu Maju, Islam Berdaulat & Negeri Berkebajikan’ telah melancarkan manifesto yang menjiwai kehendak rakyat dan merasa optimis bahawa 'Ini Kalilah' Wisma Darul Iman akan beralih kepimpinan ke tangan PAS dan Pakatan Rakyat.

Mengenai majlis pengisytiharan calon, katanya tentatif program tidak berubah sebagaimana asal iaitu Kuliah Maghrib khas yang akan disampaikan oleh Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang di Masjid Rusila beserta solat hajat dan munajat.

“Selepas itu akan diadakan perisytiharan calon di Pentas Dewan Tok Guru. Jumpa di sana,” ujarnya.

harakahdaily/-

Tiada ulasan: