15 April 2013

Hutan terbakar di Korea Selatan

4 Jamadil Akhir 1434 H. [MOD] -




GOSEONG, Korea Selatan - Beberapa buah helikopter daripada Perkhidmatan Perhutanan Korea Selatan memadamkan kebakaran hutan di Zon Bebas Tentera di sini, 330 kilometer ke timur laut Seoul semalam.
Kebakaran itu mula dikesan di bahagian utara zon tersebut kelmarin sebelum ia merebak dalam lingkungan 100 meter dari sebuah pos kawasan pihak berkuasa negara ini.

Punca sebenar kebakaran tersebut masih belum diketahui.
Bagaimanapun, agensi berita Yonhap kelmarin menyatakan, kebakaran itu berjaya dikawal oleh pihak berkuasa Korea Selatan.

Kira-kira 18 jam selepas kebakaran itu dikesan, askar-askar Korea Selatan yang dibantu anggota-anggota bomba berjaya mengawal kebakaran tersebut daripada terus merebak. Kawasan Zon Bebas Tentera itu memisahkan negara Korea Utara dengan Korea Selatan.

Beberapa pegawai menyatakan, seramai 80 anggota bomba dan sembilan jentera bomba diletakkan dalam keadaan berjaga-jaga untuk memberikan bantuan tambahan jika diperlukan.

Kebakaran hutan itu berlaku ketika Korea Utara membuat ancaman untuk melakukan serangan nuklear ke atas Korea Selatan dan Jepun.

Ancaman itu dibuat selepas Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu membuat sekatan pengimportan barang-barang mewah ke Korea Utara.

Sekatan itu dibuat setelah Korea Utara melancarkan ujian nuklear ketiga pada bulan Februari lalu. - Agensi

Tiada ulasan: