4 Jamadil Akhir 1434 H. [MOD] -
SEREMBAN – Seorang lelaki maut selepas ditetak dengan senjata tajam dalam satu kejadian di sebuah rumah di Kampung Pasir, Rantau, dekat sini, kelmarin.
Mangsa, R Muthaiya, 48, yang bekerja sebagai penggembala lembu dijumpai dalam keadaan berlumuran darah di sebuah rumah oleh anak majikannya kira-kira jam 6 petang.
Jurucakap polis berkata, siasatan awal mendapati mangsa sudah meninggal dunia beberapa jam sebelum mayatnya dijumpai.
“Mangsa cedera parah di kepala dan juga di lengan kiri dipercayai akibat ditetak dengan senjata tajam.
“Bagaimanapun, tiada barangan berharga milik mangsa dilaporkan hilang,” katanya, semalam.
Anak kepada majikan mangsa yang mahu dikenali sebagai Subramaniam, 30-an, berkata, bapanya mengambil lelaki itu bekerja sebagai penggembala lembu sejak tiga bulan lalu.
“Saya datang ke rumahnya untuk melihat sama ada dia bekerja atau tidak, tapi saya lihat rumahnya tutup dan bergelap.
“Apabila saya buka pintu, saya terkejut melihat ada kesan darah sebelum melihat mangsa sudah terbaring,” katanya.
Subramaniam berkata, terkejut melihat keadaan itu, dia segera memaklumkan kejadian kepada bapanya sebelum menghubungi pihak polis.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Saiful Azly Kamaruddin mengesahkan kejadian itu berkata, motif sebenar pembunuhan masih lagi dalam siasatan.
Katanya, kes itu disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.
Sinar/-
Tiada ulasan:
Catat Ulasan