15 April 2013

Kejayaan terbesar Nik Aziz ubah minda rakyat Kelantan

4 Jamadil Akhir 1434 H. [MOD] -


Nik Aziz

Nik Aziz berucap pada program Bicara Cinta Tok Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat.
SHAH ALAM - Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat hari ini mengakui kejayaan terbesar beliau sepanjang memerintah Kelantan adalah keberhasilannya mengubah minda rakyat negeri itu ke arah "minda Islam."

Nik Aziz berkata demikian pada program Bicara Cinta dan pelancaran buku Bicara Ini Demi Ilahi di Kompleks Kumpulan Media Karangkraf di sini, hari ini.

Program Bicara Cinta dianjurkan oleh Sinar Harian.

Menurut beliau, pendekatan Islam yang beliau gunakan dalam mentadbir kerajaan negeri Kelantan banyak membantu ke arah kejayaan itu.

"Baru-baru ini, ada pelajar Singapura dari Universiti  Australia datang bertemu saya, beliau soal saya, apa Tok Guru buat untuk rakyat Kelantan, saya kata saya bawa perubahan minda kepada masyarakat, sebab itu dianjurkan oleh agama kita," katanya.

"... sebab itulah ketika Nabi berhijrah ke Madinah, Baginda di sambut dengan meriah oleh masyarakat Madinah, sebab mereka tahu Nabi membawa kebenaran dan pencerahan ilmu untuk mereka," ujarnya.

Nik Aziz Nik Mat merupakan Menteri Besar Kelantan yang ke-12 dan mula memegang jawatan tersebut sejak tahun 1990.

Di samping itu, ketika menyentuh perihal buku karyanya, beliau menyatakan buku itu banyak menyentuh mengenai erti "cinta".

Katanya, erti cinta sebenar adalah, cinta kepada Ilahi.

"Manusia sering salah erti mengenai ungkapan cinta, erti cinta yang sebenarnya adalah mencintai-Nya melebihi dari segalanya," katanya.

"... hati ini hendaklah dididik mencintai ALLAH, supaya kita selamat dunia akhirat," tambahnya lagi.

Buku Bicara Ini Demi Ilahi diterbitkan oleh Grup Buku Kumpulan Media Karangkraf.

Pada majlis pelancaran buku ini , 400 naskah berjaya dijual.

Sinar/-

Tiada ulasan: