15 April 2013

3 rumah teres di Taman Tunku Putra, Kulim terbakar

4 Jamadil Akhir 1434 H. [MOD] -


KULIM - Tiga rumah teres dengan dua daripadanya tidak dihuni di Taman Tunku Putra di sini, musnah dalam kebakaran malam semalam.
   
Ketua Bomba dan Penyelamat Kulim Ahmad Ridwan Yahaya berkata pihaknya yang menerima panggilan kecemasan pukul 9.24 malam tiba di lokasi 20 minit kemudian dan mendapati api sedang marak di dua rumah kosong itu.
   
"Sebuah lagi rumah bersebelahan didiami beberapa warga asing mengalami kebakaran kecil dan api sempat dikawal dalam masa kira-kira 20 minit selepas pasukan bomba tiba," katanya ketika dihubungi Bernama di sini hari ini.
   
Katanya sebanyak lima jentera bomba iaitu dua dari Kulim, satu dari Kulim Hi-Tech Park dan dua pasukan bomba sukarela dari Lunas dan Kulim dengan 20 orang anggota dapat memadamkan kebakaran dalam tempoh sejam.
   
Ahmad Ridwan berkata tiada kemalangan jiwa atau kecederaan dilaporkan dan punca kebakaran serta jumlah kerugian mangsa masih dalam siasatan. - Bernama

Tiada ulasan: