15 April 2013

Azmin: Saya panglima akan pertahan Khalid Ibrahim

4 Jamadil Akhir 1434 H. [MOD] -


Azmin Ali

Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali
GOMBAK - "Sayaa akan menjadi panglima mempertahankan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim. Umno tidak ada tokoh yang boleh dibandingkan dengan Menteri Besar Selangor ini." Demikian kata Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali di sini, malam tadi.

Beliau yang juga Pengerusi PKR Selangor berkata, Umno-Barisan Nasional (BN) terpaksa menjadikan Pengerusi mereka, Datuk Seri Najib Tun Razak sebagai pengarah pilihan raya di Selangor.
Menurutnya, kehadiran Najib di Selangor membuktikan BN tidak mempunyai calon yang 'sekuat' Khalid.

"Selangor kena serang teruk, saya kasihan dengan menteri besar, saya akan jadi panglima dan pertahankan Khalid.

"Umno ada tak tokoh nak kalahkan Abdul Khalid? Mereka ada (Datuk Seri) Noh Omar (Timbalan Pengerusi BN Selangor), tapi  bolehkah kita bandingkan dengan Abdul Khalid, bolehkah kita bandingkan (Koordinator BN Selangor) Datuk Seri Zin Mohamed  dengan  menteri besar?

"Umno tak ada panglima, mereka terpaksa jadikan Najib sebagai pengarah pilihan raya Selangor," kata beliau pada majlis Pengisytiharan Calon PKR Negeri Selangor 2013 di sini lewat malam tadi.

Senarai nama calon diumumkan oleh Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim. Khalid diumumkan akan bertanding di kerusi Pelabuhan Klang berbanding di Ijok yang dimenangi beliau lima tahun lalu.

Azmin menzahirkan pendirian ini di sebalik spekulasi bahawa kedua-dua mereka tidak berada dalam persekitaran hubungan yang 'harmoni'. Malah ada yang mendakwa Azmin cuba 'menamatkan' kerjaya Khalid sebagai Menteri Besar Selangor.

Dalam temu bual dengan Sinar Harian Online minggu lalu, Khalid menafikan tanggapan sedemikian.

Mengulas lanjut, Azmin yang turut disenaraikan sebagai calon kerusi Parlimen Gombak berkata, penyokong Pakatan Rakyat (PR) perlu berganding berkempen untuk membawa perubahan kerajaan pusat pada Pilihan Raya Umum ke-13.

Katanya rakyat tidak boleh mengharapkan Anwar yang juga Ketua Pembangkangang seorang diri melakukan perkara itu, tetapi bersama-sama menyebarkan matlamat membawa kemenangan PR.

Azmin yang juga Pengarah Pilihan Raya PKR akan bertanding untuk mempertahankan kerusi Dun Bukit Antarabangsa.

Sinar/-

Tiada ulasan: