04 Disember 2012

S'gor teliti senarai calon ganti datuk bandar MBPJ

20 Muharram 1433H. [MOD] -

SHAH ALAM: Kerajaan Negeri Selangor kini dalam proses meneliti beberapa nama bagi menggantikan tempat Datuk Mohamad Roslan Sakiman sebagai Datuk Bandar Petaling Jaya yang baru.

Menurut Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, beliau telah menerima beberapa nama calon dan sedang dalam penilaian sebelum diumumkan selewat-lewatnya hujung tahun ini.

“Kerajaan Negeri akan mula menentukan siapakah calon yang layak untuk menjadi Datuk Bandar Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) sebelum hujung tahun ini.

“Menteri Besar telah diberi beberapa cadangan yang masih dalam pemerhatian,” katanya dalam sidang media semalam.

Isu datuk bandar MBPJ sebelum ini timbul ekoran arahan tergesa-gesa Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) yang mengarahkan Mohamad Roslan bertukar ke jawatan Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pembangunan) di Pusat Pentadbiran Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor berkuatkuasa 1 Okt lalu.

Bagaimanapun, arahan itu ditarik semula dan Mohamad Roslan dikekalkan sebagai Datuk Bandar MBPJ kerana jawatan berkenaan adalah statutori yang tertakluk di bawah Akta Kerajaan Tempatan.

Ianya didakwa bercanggah dengan Seksyen 10 Akta Kerajaan Tempatan 1976, yang memberi kuasa kepada Kerajaan Negeri untuk melantik Datuk Bandar, di mana Datuk Bandar dilantik mengikut prosedur di bawah undang-undang.

harakah/-

Tiada ulasan: