16 Ramadhan 1432H. [MOD] -
Mukjizat yang paling besar dan tiada tolok bandingnya bagi orang Islam ialah Al-Quran.Walaupun sebelum ini Allah telah menurunkan kitab-kitab yang lain seperti Taurat kepada Nabi Musa, Injil kepada Nabi Isa, Zabur kepada Nabi Daud dan beberapa mashaf atau lembaran–lembaran panduan dan petunjuk seperti yang diturunkan kepada Nabi Ibrahim namun ianya tidak selengkap sepertimana Al-Quran.
Kitab-kitab yang terdahulu hanyalah untuk kaum pada masa nabi dan rasul tersebut sahaja sedangkan Al-Quran adalah untuk semua manusia dan semua zaman sehingga hari kiamat dan tidak ada lagi kitab yang akan dirurunkan selepasnya.
Istimewanya Al-Quran ialah Ia adalah penutup segala kitab. Dengan adanya Al-Quran manusia tidak perlu lagi merujuk kepada mana-mana kitab yang lain untuk mencari panduan hidup atau sumber hukum dalam mengendalikan kehidupan.
Al-Quran adalah perlembagaan hidup bagi setiap orang muslim. Menjadi kewajipan untuk membaca, memahami makna dan sentiasa beramal dengan segala tuntutannya.
Isi Al-Quran meliputi semua bidang antaranya::
1. Jenis-jenis ibadat kepada Allah dan bagaimana cara menunaikannya
2. Asal kejadian dan peringkat pembentukan alam termasuk segala pergerakan bintang, bulan dan matahari dan lain-lain planet sama ada yang sudah dijumpai atau yang belum dijumpai kewujudannya oleh manusia.
3. Peringkat kejadian dan pembentukan manusia dari sebelum lahir sehingga lahir ke dunia.
4. Sejarah hidup nabi dan rasul dan mukjizat yang diberikan Allah untuk membantu mereka dalam menjalankan dakwah.
5. Sejarah kehidupan manusia terdahulu dan perbuatan serta akibat dari perbuatan mereka yang menurut dan juga yang ingkar perintah Allah.
6. Maklumat berkaitan kitab-kitab Allah yang terdahulu yang diturunkan kepada nabi-nabi sebelum Nabi Muhammad SAW.
7. Sumber hukum bagaimana mentadbir dunia, politik dan ekonomi.
8. Sumber hukum berkaitan perbuatan-perbuatan fitnah dan jenayah.
9. Sumber perubatan terhadap penyakit selain kematian.
10. Keterangan tentang apa akan berlaku selepas mati, di alam kubur dan bagaimana Allah mengadili manusia di hari pembalasan, menerima azab siksa atau kebahagiaan dan kesejahteraan.
11. Bagaimana mencari ketenangan jiwa, pengisian kehidupan dan mensyukuri rahmat Allah.
12. Pengurusan hubungan kemanusianan antara sesama Islam dan antara orang Islam dan orang bukan Islam.
13. Bagaimana pengurusan keluarga Islam berkaitan nikah kahwin, perceraian dan yang berkaitan dengannya.
14. Layanan sesama manusia terutama layanan kepada anak-anak yatim dan lain-lain lagi.
Oleh itu semua orang Islam adalah digalakkan membaca Al-Quran bila sahaja ada kelapangan dan jadikan ia sebagai amalan bukan sahaja dalam bulan Ramadan, perlu diteruskan di bulan-bulan yang lain juga..
Beberapa contoh ayat-ayat Al-Quran bagi mengukuhkan keistimewaannya
“Iaitu Al-Quran yang berbahasa Arab, yang tidak mengandungi sebarang keterangan yang terpesong, supaya kamu bertaqwa” Az Zumar 28
“(Al-Quran) ini ialah penerangan kepada seluruh umat manusia, dan petunjuk serta pengajaran bagi orang-orang yang (hendak) bertaqwa.” Ali-Imraan 138
Kumpulan-kumpulan yang mendampingi Al-Quran:
Kumpulan 1. Orang yang sentiasa membaca Al-Quran seolah-olah sebagai hobi iaitu bila sahaja ada masa lapang. Walaupun tidak tetap waktu membaca tetapi ia dilakukan secara berterusan. Apabila khatam akan dimulakan semula bacaan kali yang lain. Orang-orang seumpama ini, selalunya membaca Al-Quran selepas solat waktu, boleh jadi sebaris, dua baris, satu mukasurat, satu helai, satu surah atau sebagainya dan Al-Quran sentiasa ada berhampiran tempat dia solat..
Pembaca Al-Quran jenis ini, Insyaallah akan sentiasa tenang dan diberkati Allah, sentiasa dilindungi Allah walau di mana dia berada. walau pun bacaannya mungkin tidak berapa merdu seperti orang lain.
Orang dalam kumpulan ini jika dia istiiqamah atau berterusan membaca walaupun tidak lama setiap kali membaca, keyakinan dengan Allah sentiasa meningkat. Insyaallah jiwa akan sentiasa aman dan tidak mudah putus asa.
Kumpulan 2.Membaca Al-Quran sambil meneliti makna untuk melihat cerita-cerita yng berlaku, hukum-hukum yang berkaitan atau mengetahui sejarah ayat–ayat ini diturunkan. Kumpulan ini juga berpeluang mengkaji maksud ayat-ayat tersebut. Dengan kaedah ini kita akan mendapat banyak keuntungan, antaranya :
Kita boleh dapat ketenangan jiwa bila mengetahui janji-janji baik yang Allah beri kepada mereka yang berbuat baik kerana kita yakin semua janji Allah itu adalah benar belaka.
Disamping itu, kita akan berusaha mengelakkan diri dari berbuat kejahatan kerana takut dengan janji azab yang akan dikenakan kepada orang yang jahat dan ingkar perintah Allah. Allah mungkin menghukum semasa di dunia lagi malahan sudah pasti akan menerima balasan di hari kiamat nanti. Semua azab siksa yang ditimpakan kepada kaum yang ingkar sebelum zaman Nabi Muhammad SAW ada diceritakan dalam Al-Quran.
Dengan membaca tafsir Al-Quran, kita juga mengetahui bagaimana menyelesaikan urusan keluarga, contohnya seperti agihan harta pusaka, siapa yang berhak dan siapa yang tidak berhak dan sebagainya
Pengkaji-pengkaji telahpun banyak mendapat sumber ilmu yang tinggi nilai dari semasa ke semasa dengan berpandukan tafsir ayat-ayat Al-Quran.
Kumpulan 3. Membaca Al-Quran bagi tujuan menghafal untuk menjadi hafiz.
Mereka dalam kumpulan ini lazimnya berusia muda dan tinggal di tempat yang sama dan dibimbing oleh seorang atau beberapa orang guru yang hafal AL-Quran 30 juzuk. Untuk mencepatkan kejayaan, ahli kumpulan ini diasuh tanpa pencemaran seperti mata, telinga dan percakapan selain dari Al-Quran dan ditambah dengan lain-lain ibadat yang diredhai Allah, untuk lebih meyakinkan diri..
Kumpulan 4. Membaca dan menghafal ayat atau surah-surah pendek atau yang tertentu untuk tujuan diri sendiri, untuk pengisian masa lapang bagi tujuan menguatkan taqwa kepada Allah. Menghafal ayat-ayat atau surah yang pendek-pendek juga memudahkan kita membacanya bila solat bersendirian, atau lebih mengkhusyukkan solat bila mengikut imam yang membaca ayat-ayat tersebut.
Kumpulan 5. Kumpulan ini tidak membaca Al-Quran tetapi mendengar sahaja, sama ada dengan memainkan pita rakaman atau radio atau TV dari saluran tertentu sahaja.
Orang dalam kumpulan ini kalau diperhatikan, semacam mendapat satu keseronokan bila berpeluang mendengar bacaan Al-Quran terutama yang diminatinya..
Sesungguhnya ada surah-surah tertentu yang boleh menimbulkan perasaan menggembirakan jika diiringi dengan lagu dan kaedah tajwid yang betul manakala ada pula yang akan mendatangkan ketakutan bila dibaca...
Bila ada kelapangan, mainkanlah dan dengarlah apa-apa surah sekalipun asalkan jangan sampai boleh mengganggu orang lain yang tidak bersama kita yang mungkin ada urusan mereka yang lebih penting.
Kumpulan 6. Membaca Al-Quran secara tadarus bersama beberapa orang rakan dalam kumpulan-kumpulan tertentu. Dalam setiap kumpulan tersebut seorang akan membaca dan yang lain akan mendengar, membuat teguran bagi memperbaiki sebarang kesalahan bacaan jika ada..
Kaedah yang ke enam ini selalu diamalkan dalam bulan Ramadan setiap malam di masjid dan surau selepas solat tarawih atau antara solat maghrib dan Isyak. Melalui kaedah ini yang kurang mahir membaca boleh memperbaiki diri dengan mendengar orang mahir membaca. Mereka yang kurang mahir janganlah malu untuk turut serta kerana ganjarannya cukup besar disisi Allah.
Justeru itu, sempena bulan Ramadan tahun ini walaupun sudah separuh bulan ianya masih belum terlewat untuk kita mulakan satu lembaran baru dalam kehidupan kita kalau belum kita mulakan, atau marilah kita teruskan amalan ini jika kita telah mulakan sejak awal Ramadan dua minggu yang lalu.
Hadis Rasulullah s.a.w.:
“ Sesungguhnya aku telah meninggalkan kepada kamu sesuatu yang jika kamu berpegang teguh dengannya, kamu tidak akan sekali-kali sesat selepasku iaitu kitab Allah (yakni Al-Quran). “ Riwayat Muslim
“Bacalah Al-Quran, kerana sesungguhnya ia akan datang sebagai pemberi syafaat pada hari kiamat.”
Sesungguhnya melihat, memegang, membaca, mendengar, memahami makna dan menyebarkan isi kandungannya, menghadiahkan kepada yang memerlukan, serta beramal dengannya adalah ibadat.
Bagi tujuan menguatkan keimanan kita dan sentiasa berharap kepada limpah kurnia Allah mari kita lihat beberapa contoh isi Al-Quran yang sentiasa memberi keuntungan dan keberkatan kepada sesiapa yang membacanya.
1. Al-Quran penuh dengan doa kehadrat Allah Subhanahuwataala.
Contohnya: (Surah Al-Fatihah)
“ Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani. Segala puji tertentu bagi Allah, Tuhan yang memelihara dan mentadbirkan sekelian alam. Yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani. Yang menguasai pemerintahan hari Pembalasan (Hari Akhirat). Engkaulah sahaja (Ya Allah) yang kami sembah, dan kepada Engkaulah sahaja kami memohon pertolongan. Tunjukkanlah kami jalan yang kurus.
Iaitu jalan orang-orang yang Engkau telah kurniakan nikmat kepada mereka, bukan (jalan) orang-orang yang Engkau telah murkai, dan bukan pula (jalan) orang-orang yang sesat. “
2. Kita sentiasa bersyukur dan memperbaiki Aqidah.
( Contohnya: Surah Al Baqarah 136 )
{Katakanlah (wahai orang-orang yang beriman) “Kami beriman kepada Allah, dan
kepada apa yang diturunkan kepada kami (Al-Quran), dan kepada apa yang diturunkan kepada Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail dan Nabi Ishaq dan Nabi Ya’qub serta anak-anaknya, dan juga kepada apa yang diberikan kepada Nabi Musa (Taurat) dan Nabi Isa (Injill),
dan kepada apa yang diberikan kepada Nabi-nabi dari Tuhan mereka; kami tidak membeza-bezakan antara seseorang dari mereka (sebagaimana yang kamu-Yahudi dan Nasrani-membeza-bezakannya); dan kami semua adalah Islam ( berserah diri, tunduk taat ) kepada Allah semata-mata.”}
3.Sentiasa muhasabah diri dan memohon rahmat dari Allah.
( Contohnya: Surah A-Li Imraan 8-9 ).
(Mereka berdoa dengan berkata): “Wahai Tuhan kami! Janganlah engkau memesongkan hati kami sesudah Engkau beri petunjuk kepada kami, dan kurniakanlah kepada kami limpah rahmat dari sisiMu; sesungguhnya Engkau jualah Tuhan Yang melimpah-limpah pemberianNya,”
Wahai Tuhan kami! Sesungguhnya Engkaulah yang akan menghimpunkan sekelian manusia, untuk (menerima balasan pada ) suatu hari ( hari kiamat) yang tidak ada syak padanya” Sesungguhnya Allah tidak memungkiri janjiNya . “
4. Sentiasa ada perasan benci kepada keburukan dan kejahatan dan mohon berlindung daripadanya.
(Contohnya: Surah A-Li Imraan 177).
“Sesungguhnya orang-orang yang membeli (memilih) kufur dengan meningggalkan iman, tidak sekali-kali mereka akan dapat mendatangkan mudarat kepada Allah sedikitpun, dan mereka pula beroleh azab seksa yang tidak terperi sakitnya.”
5. Sentiasa sedar bahawa hidup di dunia ini adalah sementara, akhirat juga yang kekal abadi.
(Contohnya: Surah A-Li Imraan 192-193)
“Wahai Tuhan kami! Sebenarnya sesiapa yang Engkau masukkan ke dalam neraka maka sesungguhnya Engkau telah menghinakannya, dan orang-orang yang zalim itu tidak akan beroleh seorang penolong pun. Wahai Tuhan Kami! Sesungguhnya kami telah mendengar seorang Penyeru (Rasul) yang menyeru kepada iman, katanya
“ Berimanlah kamu kepada Tuhan kamu”, maka kami pun beriman; Wahai Tuhan kami, ampunkanlah dosa-dosa kami, hapuskanlah daripada kami kesalahan-kesalahan kami, dan matikanlah kami bersama orang-orang yang berbakti”
Sesungguhnya seluruh isi Al-Quran penuh dengan pengajaran, peringatan dan pertunjuk dari Allah Subhanahuwataala..
Oleh itu marilah kita terus mendampingi dan memperbaiki bacaan Al-Quran sebanyak mungkin bila sahaja ada kelapangan. Seterusnya marilah kita menggunakan baki kehidupan ini dengan berusaha melakukan sebanyak-banyaknya kerja kebaikan dan beramal sebaik mungkin semoga kita akan tetap dalam peliharaan Allah. Amin.
Nota: Sebaik-baiknya tulisan ini dibaca dengan adanya Al-Quran disisi supaya dapat dirujuk ayat-ayat yang dimaksudkan.
md zainal mzd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan