16 Ramadhan 1432H. [MOD] -
BEBERAPA penduduk melihat lokasi letupan bom di Kirkuk, utara Baghdad, Iraq semalam.
BAGHDAD - Seramai 56 orang maut dalam satu siri letupan bom yang berlaku di beberapa buah bandar di Iraq pada pagi semalam.
Kejadian itu dianggap yang paling berdarah dalam bulan Ramadan tahun ini.
Keganasan itu berlaku dari bandar Kirkuk sehingga ke Baghdad dan di bandar Najaf di selatan Iraq.
Seramai sepuluh orang turut mati dalam letupan bom di wilayah Diyala.
Ekoran kejadian itu, para pegawai Iraq kini menimbang sama ada mereka mampu untuk melindungi negara ini tanpa kehadiran askar Amerika Syarikat (AS).
Letupan bom itu diselaraskan supaya ia berlaku pada waktu pagi. Ia melibatkan bom kereta, bom tepi jalan dan pengebom berani mati.
Seorang pengebom berani mati itu memandu sebuah kenderaan yang merempuh sebuah balai polis di Najaf.
Dua letupan berlaku di bandar Kut, 160 kilometer ke tenggara Baghdad.
Letupan tersebut berlaku semasa para pekerja pembinaan berhimpun di sebuah pasar yang menjual janakuasa dan beberapa peralatan lain.
Di bandar Tikrit, utara Iraq, dua lelaki memakai tali pinggang yang mengandungi bahan letupan memandu ke sebuah pekarangan pejabat pemerintah yang dikawal ketat dengan memakai pakaian seragam tentera.
Menurut seorang jurucakap wilayah itu, Mohammed al-Asi, pemakaian pakaian seragam tersebut membolehkan para penyerang berkenaan meloloskan diri ke dalam pekarangan bangunan pemerintah.
Lelaki-lelaki itu kemudian meletakkan kenderaan mereka dan berjalan memasuki sebuah bangunan yang menempatkan polis antikeganasan.
Apabila mereka mendekati bangunan berkenaan, para pengawal mengarahkan lelaki-lelaki tersebut berhenti.
Namun, para penyerang itu melepaskan tembakan.
Seorang pengebom maut di tempat kejadian dalam kejadian itu tetapi beberapa orang lagi berjaya memasuki bangunan tersebut sebelum mereka meletupkan diri menyebabkan tiga orang terbunuh. - Agensi
Tiada ulasan:
Catat Ulasan