16 Ramadhan 1432H. [MOD] -
Jumlah pemilih berdaftar bagi seluruh negara setakat ini ialah lebih 12 juta, demikian menurut Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).
SPR dalam kenyataan medianya berkata jumlah itu termasuk Daftar Pemilih Induk Tahun 2010 dan Daftar Pemilih Tambahan Suku Tahun Kedua 2011 (DPT ST2/2011) yang akan diwartakan hari ini.
Daftar Pemilih Tambahan Suku Tahun Kedua 2011 mengandungi 257,557 nama pemilih yang terdiri daripada 201,339 nama pemilih baru dan 56,218 nama pemilih yang menukar alamat pusat mengundi.
Menurut kenyataan itu, sepanjang tempoh pameran Rang DPT ST2/2011 dari 27 Julai 2011 hingga 2 Ogos 2011, SPR menerima 524 tuntutan melibatkan Bahagian Pilihan Raya Parlimen P 27 Tanah Merah, Kelantan yang mana semua kes tuntutan itu belum diselesaikan.
Katanya SPR juga telah menerima bantahan melibatkan 45 bahagian pilihan raya Parlimen dan semua bantahan itu juga belum diselesaikan.
"Bantahan tersebut melibatkan 110,242 permohonan yang terdiri daripada 89,193 permohonan pendaftaran baru dan 21,049 permohonan bertukar alamat pusat mengundi. Semua permohonan ini akan diperakukan setelah semua kes bantahan diselesaikan," kata kenyataan itu.
- Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan