16 November 2012

Saya puas hati dengan Harakah - Presiden

2 Muharram 1433H. [MOD] -


KOTA BHARU: Disebalik kritikan yang dilemparkan kepada Harakah khususnya oleh Dewan Pemuda PAS dan Dewan Ulamak dalam muktamar kedua-dua dewan itu semalam, Presiden PAS Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang hari ini turut membuat penjelasan.

Beliau yang ditanya wartawan berhubung perkara itu berkata, PAS bersedia menerima segala teguran yang dibuat mana-mana pihak terhadap lidah rasmi parti itu.

"Kita orang Islam diajar tiada yang sempurna, yang sempurna Tuhanyang satu. Saya pun tak sempurna orang boleh kritik.

"Dalam masa yang sama kita menerima nasihat dari semua pihak," katanya.

Bagaimanapun bagi beliau, peranan Harakah membawa suara parti setakat ini boleh dibanggakan walaupun berdepan tekanan dan kekangan dari pelbagai sudut.

"Sehingga ini saya berpuas hati dengan Harakah dan Harakahdaily.

"Kita kena faham bahawa Harakah berada dalam persimpangan, untuk ahli parti dan pada masa yang sama  perlu sebarkan maklumat kepada umum. Jadi inilah yang menjadi dilema," katanya.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas usul yang dibawa Dewan Pemuda PAS Wilayah semalam yang mahu PAS membuat rombakan semula sidang editorial lidah rasmi parti itu kerana didakwa perjuangannya telah terpesong dari matlamat penubuhan asal.

Dalam usul itu juga, mereka mahu PAS menubuhkan satu jawatankuasa penapis bagi membuat saringan terhadap berita-berita yang dilaporkan.

Terdahulu sewaktu menyampaikan Ucapan Dasar Presiden pagi tadi, Tuan Guru Abdul Hadi berkata, kesemua jentera penarangan PAS iaitu Harakah, Harakahdaily dan Lajnah Penerangan, perlu terus diperkasakan dalam usaha menyampaikan maklumat kepada rakyat.

Beliau juga berbangga dengan wartawan dan petugas penerangan kerana sanggup dan setia bertugas dengan parti walaupun berpeluang mendapat lebih jika berkerja dengan organisasi lain.

Ditanya adakah PAS akan membuat pengstrukturan semula sidang editorial Harakah seperti desakan dalam usul Dewan Pemuda semalam itu, beliau berkata perkara itu akan dibincang dahulu secara dalaman.

"Itu masalah dalaman parti, jadi kita akan bincang di peringkat dalaman," katanya.

harakah/-

Tiada ulasan: