2 Muharram 1433H. [MOD] -
JOHOR BAHRU - Detik perkenalan seorang jururawat dan seorang doktor
hingga membawa ke gerbang perkahwinan disangkakan membawa bahagia
berpanjangan tetapi rupa-rupanya mengundang derita berpanjangan.
Demikian nasib malang seorang janda kerana dia bukan saja
ditinggalkan suaminya tanpa diberi nafkah malah lelaki yang pernah
bersumpah sehidup semati dengannya itu turut bertindak kejam memalsukan
tandatangannya untuk membuat pinjaman sehingga membuatkan wanita itu
bakal diisytiharkan muflis.
Nora Ahmad, 42, yang merupakan jururawat di sebuah pusat hemodialisis
di Senai dekat sini ketika menceritakan kisah perit hidupnya berkata,
kepincangan hidupnya bermula ketika rumah tangga yang dibina oleh
suaminya yang juga merupakan seorang doktor mengalami keretakan sejak
tahun 2005.
"Hampir lapan tahun lamanya dia meninggalkan saya dan empat orang
anak tanpa pesan dan rupa-rupanya dalam tempoh itu dia sudah berkahwin
tiga iaitu pada tahun 1998, 2006 dan pada tahun 2009, saya difahamkan
dia melangsungkan perkahwinan di Thailand bersama pasangannya," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui di pejabat Timbalan Pengerusi
Biro Aduan Awam MCA Cawangan Johor Bahru, Michael Tay Chee Boon di sini
semalam.
Pada 12 Jun lalu, ibu tunggal ini dikejutkan dengan surat berdaftar
yang dikirimkan oleh sebuah bank di sini yang menyatakan dia bakal
diisytiharkan muflis dan namanya akan disenaraihitamkan oleh Bank Negara
jika hutang pinjaman tidak dilangsaikan.
"Saya tertanya-tanya apa kesalahan saya dan bila semakan dibuat,
rupa-rupanya bekas suami saya telah meletakkan nama saya sebagai
penjamin tanpa pengetahuan saya untuk membeli mesin pengimbas berharga
RM35,000 pada 3 Januari 2007 yang lalu.
"Yang lebih membuatkan saya marah, dia telah memalsukan tandatangan
saya. Sekarang, pihak bank terus memburu saya untuk membayar semula
pinjaman itu yang kini sudah mencecah RM58,000," kata jururawat yang
baru saja bercerai dengan suaminya yang berumur 44 tahun yang berasal
dari Pontian pada Februari lalu.
Apabila tembelang jahat lelaki beristeri empat itu pecah, Nora
memberitahu, bekas suami yang pernah memiliki dua buah klinik di Senai
terus menyembunyikan diri dan kali terakhir dia sempat bercakap dengan
suaminya ialah pada Jun lalu dengan pelbagai alasan diberi.
"Saya sudah tak mampu menanggung bebanan ini, ia bukan masalah saya
tetapi saya telah diperdaya dengan bekas suami dan saya minta dia tampil
selesaikan kemelut ini," rayunya yang telah membuat laporan polis di
Balai Polis Senai di sini.
Mengulas lanjut mengenai kemelut ini, Michael berkata, pihaknya akan
membantu Nora untuk mendapatkan peguam bagi memohon agar menangguhkan
seketika prosiding kes yang akan berlangsung pada 19 Disember ini.
"Selain menggesa bekas suami Nora supaya tampil, saya ingin meminta
penjelasan pihak bank berkenaan mengapa pihak penjamin tidak dipanggil
bersama ketika surat perjanjian ditandatangani?," soalnya.
METRO/-
Tiada ulasan:
Catat Ulasan