10 Julai 2012

Utusan hilang integriti siar berita fitnah

20 Syaaban 1433H. [MOD] -

Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) menyelar tindakan Utusan Malaysia yang menyiarkan laporan fitnah mendakwa DAP akan bertanding di 90 buah kerusi Parlimen dalam PRU ke 13 nanti.

Bagi DPPM, penyiaran berita seperti adalah berniat jahat bagi menimbulkan keresahan di kalangan pengundi Melayu terhadap Pakatan Rakyat.

DPPM menganggap Utusan Malaysia adalah akhbar paling tidak beretika di negara ini kerana sanggup menyiarkan berita pembohongan dan fitnah terhadap Pakatan Rakyat.

Dasar ‘ampu’ atau bodek keterlaluan Utusan Malaysia terhadap pemerintah menjadikannya hilang integriti sehingga sanggup menyiarkan apa sahaja berita memburukkan Pakatan Rakyat meskipun ia layak ‘dibakulsampahkan’ untuk menyenangkan pihak tertentu.

DPPM hairan dari mana Utusan Malaysia mendapat khabar angin seperti ini.

Maklumat mereka seperti terperinci lebih dari pemimpin Pakatan Rakyat sendiri yang hadir dalam mesyuarat tertutup. Seolah-olah, mereka mempunyai maklumat penuh setiap pergerakan dan hasil keputusan mesyuarat peringkat tertinggi Pakatan Rakyat, walhal maklumat yang disiarkan itu hanyalah fitnah dan pembohongan semata-mata.

DPPM ingin menegaskan, bahawa DAP hanya bertanding tidak lebih dari 60 buah kerusi Parlimen daripada keseluruhannya 222 buah, atau lebih tepat lagi 40 buah kerusi Parlimen di negara ini. Kerusi-kerusi inilah yang mempunyai majoriti pengundi Cina di negara ini.

Bagaimana mungkin DAP boleh bertanding di kerusi majoriti Melayu selebihnya? Sudah tentu fakta yang dikemukakan oleh Utusan Malaysia jauh bercanggah dari kebenarannya.

Justeru, DPPM meminta Ketua Pengarang, kumpulan editor dan pihak berkepentingan dalam Utusan Malaysia agar segera insaf dari terus melakukan pembohongan.

Rakyat semakin benci dengan penipuan yang tidak bermaruah dan politik fitnah seperti ini.

Zaman ini rakyat semakin celik maklumat dan cerdik dalam menilai sesuatu. Rakyat tidak sesekali terpengaruh dengan dakyah liar yang ditaburkan bagi mengabui pemikiran mereka.

Jangan sampai Utusan Malaysia menjadi bankrap disebabkan etika pemberitaan yang jahat dan jangan sampai pula Umno BN kalah teruk dalam PRU ke-13 disebabkan penolakan rakyat terhadap mereka ekoran berita mengarut seperti ini!

harakahdaily/-

Tiada ulasan: