10 Julai 2012

Perarakan lilin memperingati perhimpunan BERSIH 2.0

20 Syaaban 1433H. [MOD] -

Kira-kira 300 orang menghadiri perarakan sambil membawa lilin menuju ke Stadium Merdeka bagi memperingati perhimpunan BERSIH 2.0 yang diadakan pada 9 Julai tahun lalu.

Peserta mula berarak kira-kira pukul 8.10 malam dari Dataran Merdeka walaupun hujan agak lebat pada ketika itu.

Peserta juga dilihat membawa payung bewarna kuning - warna rasmi BERSIH dan memakai baju hujan berwarna sama sebagai tanda sokongan kepada gabungan itu.

Kira-kira lebih 10 orang anggota polis juga kelihatan di sekitar Dataran Merdeka bagi mengawasi peserta.

Dari Dataran Merdeka, peserta melalui Jalan Tun Perak, Jalan Silang, Jalan Sultan, Jalan Hang Jebat dan Jalan Changkat Stadium sebelum tiba ke Stadium Merdeka kira-kira pukul 8.50 malam.

Beberapa orang anggota polis juga dilihat mengikuti perarakan itu ke stadium.

Setibanya di Stadium Merdeka, kesemua peserta berkumpul di pintu masuk stadium sambil melaungkan ''BERSIH''. Selepas itu, peserta diminta untuk bertafakur selama seminit bagi memperingati pemergian allahyarham Baharuddin Ahmad yang meninggal dunia semasa menyertai perhimpunan itu tahun lalu.

Selepas bertafakur, acara dimulakan dengan memberi laluan kepada anggota jawatankuasa pemandu BERSIH 2.0, Wong Chin Huat untuk memberikan ucapan.

Selepas Wong memberikan ucapan yang penuh bersemangat, tiba giliran wakil daripada Suara Rakyat Malaysia (Suaram) iaitu pengarah eksekutifnya, E. Nalini untuk memberikan ucapan.

Nalini yang turut berucap bagi pihak Gerakan Mansuhkan ISA (GMI) mendesak agar kesemua tahanan di Kem Kamunting dibebaskan.

"Kika akan terus mendesak agar semua tahanan dibebaskan. Pada 15 Julai ini, kita akan mengadakan demonstrasi di depan Kem Kamunting. Kita akan terus desak," katanya.

NONEKemudian, sebelum perhimpunan itu bersurai, ahli jawatankuasa pemandu BERSIH 2.0, Maria Chin Abdullah pula berucap sambil menyanyikan lagu 'selamat hari lahir BERSIH 2.0'.

Selepas selesai menyanyikan lagu itu, peserta beramai-ramai menyanyikan lagu Negaraku.

Peserta mula bersurai kira-kira pukul 9.25 malam selepas Negaraku dinyanyikan dan wisel ditiupkan.

Perhimpunan BERSIH 2.0 diadakan tahun lalu bagi menuntut kerajaan mengadakan pilihan raya adil dan bersih.

Perhimpunan anjuran Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH) itu turut menuntut agar pihak kerajaan melaksanakan lapan tuntutan mereka terhadap sistem pilihan raya negara.

malaysiakini/-

Tiada ulasan: