10 Julai 2012

Pertemuan di Damsyik positif

20 Syaaban 1433H. [MOD] -

GAMBAR oleh agensi berita rasmi SANA menunjukkan Presiden Syria, Bashar Al-Assad bertemu dengan utusan PBB-Liga Arab, Kofi Annan di Damsyik semalam.

DAMSYIK - Duta khas Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan Liga Arab ke Syria, Kofi Annan menyatakan beliau mencapai satu persetujuan dengan Presiden Bashar Assad berhubung pelan damai bagi menamatkan pergolakan berdarah di negara berkenaan.

Usaha damai itu dibuat hasil inisiatif Annan melibatkan peralihan kuasa untuk menamatkan krisis di Syria yang telah berlanjutan selama 16 bulan.

Konflik di Syria bermula dengan kebangkitan rakyat menentang pentadbiran Bashar sebelum bertukar menjadi pemberontakan bersenjata.

Annan berkata, Iran perlu menjadi sebahagian daripada penyelesaian kepada konflik di Syria yang menurut beberapa aktivis, sudah meragut lebih 14,000 nyawa setakat ini.

"Kami bersetuju dengan satu pendekatan yang akan di maklumkan kepada pihak penentang," kata Annan kepada pemberita selepas pertemuan selama dua jam dengan Assad di sini.

"Saya juga menegaskan adalah penting untuk meneruskan dialog yang turut dipersetujui oleh Bashar," katanya.

Bagaimanapun, beliau tidak mendedahkan butiran terperinci berhubung rangka kerja yang dicapai bersama Bashar.

Sementara itu, sebuah stesen televisyen Iran melaporkan bahawa Annan telah berkunjung ke Tehran untuk mesyuarat semalam.

Sebelum itu, dalam satu wawancara dengan akhbar harian Le Perancis Monde pada hari Sabtu, Annan mengakui bahawa usaha masyarakat antarabangsa untuk mencari penyelesaian politik kepada keganasan yang semakin meningkat di Syria telah gagal.

Beliau menambah bahawa lebih banyak perhatian perlu diberikan kepada sekutu Syria, Iran, dengan menyatakan Tehran harus menjadi sebahagian daripada penyelesaian. - Agensi

Tiada ulasan: