17 Rejab 1433H. [MOD] -
JUNJUNG - Seorang pemandu van berusia 30-an nyaris maut apabila kenderaan yang dipandunya bertembung dengan lori kira-kira jam 12.30, tengah hari semalam.
Saksi yang berada di tempat kejadian berkata, van datang dari arah pekan Junjung menghala ke pekan Kulim, manakala lori berkenaan dari arah bertentangan.
Menurutnya, tiba di selekoh berhampiran Jirat Cina Junjung, salah sebuah kenderaan telah masuk ke laluan bertentangan dan bertembung.
Katanya, akibat rempuhan kuat, van terlibat terbabas ke dalam semak manakala pemandunya tersepit.
"Sebuah jentera bomba dari Balai Bonda Kulim dan ambulans dari Hospital Kulim berjaya mengeluarkan mangsa kira-kira 10 minit kemudian. Mangsa dikejarkan ke unit kecemasan untuk rawatan lanjut," katanya.
Ketua Bahagian Trafik dan Ketenteraman Awam Ibu Pejabat Polis Daerah Kulim, Asisten Superintendan Ismail Ayob, menasihati pemandu dan penunggang motosikal memperlahankan kenderaan apabila melalui Jalan Junjung ke pekan Kulim.
“Jalan dari pekan Junjung ke Kulim sememangnya bengkang bengkok. Tahun lalu sahaja lebih empat pengguna jalan raya maut di sekitar lokasi kemalangan berlaku.
"Antara faktor yang menyumbang kepada kemalangan adalah sikap pemandu serta keadaan jalan. Bagaimanapun pengguna jalan raya dapat mengelakkan dari terlibat dengan kemalangan sekiranya mereka memandu secara lebih berhemah,” katanya.
Sinar Harian
Tiada ulasan:
Catat Ulasan