17 Rejab 1433H. [MOD] -
KUALA TERENGGANU - Seorang warga emas yang difahamkan dalam perjalanan ke rumah isteri barunya di Merang, Setiu, maut apabila motosikal yang ditungganginya merempuh bahagian tengah sebuah treler yang sarat membawa muatan buah sawit.
Kejadian itu berlaku di simpang tiga Taman Lembah Bidong, Batu Rakit, di sini, malam kelmarin.
Dalam kejadian kira-kira jam 8.20 malam itu, mangsa, Renils Hussin, 72, dari Batu Rakit, di sini, maut di tempat kejadian akibat pendarahan teruk di kepala.
Sinar Harian difahamkan, mangsa, datuk kepada enam cucu itu baru sebulan mendirikan rumah tangga dengan isteri barunya, 48, selepas kematian isteri pertama sejak lima tahun lalu.
Mangsa dalam perjalanan dari kediamannya di Batu Rakit, di sini, menuju ke Merang, Setiu dengan menunggang motosikal jenis Honda Wave, namun dia gagal mengawal motosikalnya itu lalu merempuh bahagian tengah sebuah treler muatan 36 tan semasa keluar dari simpang terbabit.
Mangsa mengalami pendarahan teruk dipercayai akibat tempurung kepalanya pecah, manakala pemandu treler terbabit, Zailani Mamat, 44, dari Kampung Bukit Kolam, Ajil, tidak mengalami sebarang kecederaan.
Sementara itu, Ketua Polis daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Zamri Shamsuddin ketika dihubungi, semalam mengesahkan kejadian.
Sinar Harian
Tiada ulasan:
Catat Ulasan