17 Rejab 1433H. [MOD] -
Ombak besar dan air pasang melanda kawasan pantai antara Kuala Perlis dan Kuala Sanglang semalam mengakibatkan ratusan buah rumah dimasuki air.
Ombak turut menghanyutkan seekor anak paus sepanjang satu meter dan seberat 3.4 kilogram lalu terdampar berhampiran rumah seorang penduduk terbabit.
ADUN Kuala Perlis Mat Hassan berkata ratusan rumah dimasuki air masin apabila air pasang disertai ombak mula berlaku pukul 12.30 tengah hari.
Katanya, beliau melawat mangsa air pasang itu dan mendapati kebanyakannya telahpun memindahkan barangan ke tempat selamat.
Sementara itu, di kampung Sungai Padang dekat Kangar, para penduduk berhadapan saat mencemaskan apabila air memasuki rumah separas pinggang dalam masa 15 minit akibat ombak besar.
Seorang mangsa, Haliah Shaari, 52, berkata rumahnya dimasuki air serta lumpur apabila dipukul ombak mengakibatkan pelbagai barangan di dalamnya rosak.
Wanita itu berkata ombak turut menghanyutkan anak ekor anak paus tersebut dan terdampar berhampiran rumahnya.
Seorang pakar biologi marin Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) Prof Dr Ridzwan Abdul Rahman berkata berdasarkan bentuk ikan itu, ia merupakan sejenis mamalia marin iaitu paus.
Tinjauan mendapati jalan pinggir pantai antara Kuala Perlis dan Kuala Sanglang dipenuhi lumpur dan mangsa masih bertungkus lumus membersihkan rumah mereka.
Turut meninjau mangsa ombak di Sungai Padang ialah Ketua Umno bahagian Arau Datuk Seri Dr Shahidan Kassim.
Sementara itu, ombak kuat sehingga mencapai ketinggian 3.5 meter didapati melanda pantai sekitar Pulau Pinang mulai 2 petang semalam.
Di Kampung Tsunami Tanjung Bungah, tidak kurang daripada 11 buah rumah dimasuki air laut kesan pukulan ombak itu.
Seorang penduduk, Tan Eng Kee, 67, berkata air memasuk rumahnya sehingga paras buku lali dan menyebabakan halaman rumahnya berbecak.
"Kejadian seumpama ini pertama kali berlaku sejak 20 tahun lepas dan ia bencana kedua terburuk selepas kejadian Tsunami empat tahun lepas," katanya kepada Bernama.
Katanya penduduk telah membina benteng pasir di sekeliling kediaman mereka.
Tinjauan Bernama di sekitar Padang Kota Lama dan Persiaran Gurney yang berhampiran laut, mendapati air laut melimpah sehingga ke jalan raya di samping membasahi ruang pejalan kaki.
Namun bagi kaki pancing, Hamzah Sidik, 54, dia sedikit pun tidak bimbang dengan keadaan itu dan tetap meneruskan hobinya bersama isteri dan dua anaknya, biarpun keadaan ombak berkeadaan tidak seperti biasa.
"Waktu macam ini ikan banyak naik, tiada apa yang hendak dibimbangkan. Jika keadaan berbahaya sudah tentu amaran menjauhi pantai dikeluarkan," katanya.
Di Batu Ferringhi dan Teluk Bahang pula keadaannya didapati agak lenggang apabila orang ramai menjauhi kawasan pantai sementara nelayan dikatakan tidak turun ke laut sejak semalam.
Namun aktiviti perniagaan masih berjalan seperti biasa.
Pengarah Pusat Ramalan Cuaca Jabatan Meterologi, Muhammad Helmi Abdullah menyifatkan kejadian itu adalah fenomena biasa kesan pertukaran angin dari monsun timur laut kepada monsun barat daya bermula 4 Mei lepas.
Katanya keadaan ombak turut dipengaruhi angin kuat yang bertiup dengan kelajuan 40 hingga 50 kilometer sejam yang diramal berterusan sehingga Jumaat ini.
"Keadaan laut agak bergelora pada ketika ini. Walaupun masih pada kategori pertama, nelayan dinasihati supaya tidak turun ke laut sehingga keadaan reda," katanya.
- Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan