07 Jun 2012

Masalah lif: Dakwaan berita TV9 tidak benar

17 Rejab 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR: Dakwaan Berita TV9 pada 5 Jun lalu bahawa Kerajaan Negeri Selangor lambat mengambil tindakan untuk membaikpulih lif-lif di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Kota Damansara adalah tidak benar.

Majlis Perbandaran Petaling Jaya (MBPJ) telah diarahkan untuk membaikpulih lif-lif dan pam air yang rosak di PPR selepas lawatan Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim pada 23 Oktober 2011.

Demikian dijelaskan oleh Pengerusi Jawatankuasa Tetap Perumahan, Pengurusan Bangunan & Setinggan negeri, Iskandar Abdul Samad (gambar).

Menruutnya, pihak MBPJ telah melantik beberapa buah syarikat untuk menjalankan kerja-kerja membaikpulih lif pada 18 November 2011 dan perlu disiapkan berperingkat-peringkat sehingga 8 April 2012 iaitu dalam tempoh 4 bulan dan sebuah syarikat untuk menjalankan kerja-kerja membaikpulih pam air bermula 8 Februari 2012 sehingga 8 Mac 2012 iaitu dalam tempoh 30 hari.

“TV9 hanya membangkitkan isu membaikpulih lif ini pada 23 Mac 2012.

“Walau bagaimanapun pihak syarikat-syarikat membaikpulih lif berhadapan dengan kesukaran bagi menyiapkan kerja-kerja menurut kontrak tersebut akibat vandalisme yang berulang seperti kecurian kabel dan komponen lif di bilik motor room dan riser ketika kerja-kerja baik pulih sedang berjalan,” jelasnya dalam satu kenyataan.

Beliau yang juga Adun Chempaka berkata, Datuk Bandar MBPJ, Datuk Mohamad Roslan Sakiman telah membuat sidang akhbar pada 26 Mac lepas bagi memberikan maklum balas tentang kelewatan tersebut.

Jelas beliau lagi, susulan daripada kecurian yang berulang dan vandalisme itu, pihak majlis telah mengambil langkah-langkah pencegahan yang sewajarnya dengan menambah pintu keselamatan pada bilik motor dan di tingkat 18 pada setiap blok untuk menghalang sesiapa memasuki ke bilik motor lif untuk mengelakkan kehilangan kabel-kabel.

Selain itu, katanya pihak majlis juga telah memasang kunci pada setiap bilik riser bagi memastikan kabel-kabel itu tidak dicuri lagi.

Ujar beliau lagi, kerja-kerja membaikpulih lif telah disiapkan dan diperiksa oleh Jabatan Kesihatan Dan Keselamatan Pekerja (JKKP), wakil MBPJ (JKKP), dan wakil syarikat pengurusan pada 9 Mei dan 15 Mei lepas.

Iskandar menambah, manakala kerja-kerja pembaikan pam air telah disiapkan pada 8 April lepas.

Harakah Daily

Tiada ulasan: