17 Rejab 1433H. [MOD] -
SHAH ALAM – Seorang pegawai latihan vokasional dijatuhi hukuman penjara tiga tahun dan denda RM20,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini semalam, akibat menerima rasuah RM3,370, tahun lalu.
Hakim M Bakri Abd Majid menjatuhkan hukuman itu terhadap Muhamad Hasnusi Hasim, 34, selepas mendapati pihak pembelaan gagal membuktikan keraguan munasabah terhadap kes itu.
M Bakri pada penghakimannya berkata, mahkamah tidak bertolak ansur dengan jenayah rasuah, malah hukuman yang berat menandakan betapa mahkamah memandang serius perkara itu.
“Mahkamah juga mengambil kira bahawa kamu, yang melakukan kesalahan itu pada pertama kali diberi tugas mengendalikan pembelian barangan syarikat.
“Ia menunjukkan kamu mengambil apa saja peluang untuk mendapatkan rasuah,” katanya.
Muhamad Hasnusi yang bertugas di Pusat Latihan Pengajar dan Kemahiran Lanjutan (Ciast) didapati bersalah memperoleh rasuah RM3,370 daripada Mohamad Syafiq Mahali menerusi akaun bank milik Ewa Garage Enterprise.
Rasuah itu diterimanya sebagai dorongan untuk tidak membatalkan barangan tambahan dan penukaran barangan Syarikat Global Frequencies Media bagi kerja-kerja membekal bahan.
Dia melakukan kesalahan itu di Kompleks PKNS Shah Alam pada jam 3.26 petang, 28 April tahun lalu.
Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Mahamad Sukri Abu Seman manakala tertuduh diwakili peguam Rabindran Devadasan.
Sinar Harian
Tiada ulasan:
Catat Ulasan