07 Jun 2012

WWW 1: Nizar jawab semua 28 soalan

17 Rejab 1433H. [MOD] -

IPOH: Mantan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ir Mohammad Nizar Jamaluddin hari ini memberi keterangan kepada dua pegawai polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bharu Utara berhubung isu bidaan nombor pendaftaran kenderaan WWW 1 oleh Sultan Johor, Sultan Ibrahim.

Ahli Parlimen Bukit Gantang itu bersama 7 peguamnya yang diketuai oleh Pengerusi Lujnah Undang-Undang dan Hak Asasi Manusia (Luham) PAS Pusat, Asmuni Awi telah memberi keterangan kepada Ketua Siasatan Jenayah IPD Johor Bharu DSP Sanawi Muhamad bersama-sama DSP Sukiman Arshad.

Dua Pegawai Polis tersebut tiba di Pejabat PAS Perak, Ipoh kira-kira jam 2.05 petang dan mengambil masa hampir sejam untuk merakamkan keterangan Timbalan Pesuruhjaya PAS Perak itu.

Nizar ketika membuat sidang media selepas itu berkata sebanyak 28 soalan telah dikemukakan dan menjawab kesemuanya.

“Alhamdulillah, semua berjalan lancar dan saya serahkan kepada pihak polis untuk membuat siasatan,” katanya kepada Harakahdaily.

Mohammad Nizar sebelum ini dilapor mengeluarkan kenyataan menerusi laman Twitter mempersoalkan bidaan nombor pendaftaran kenderaan WWW 1 dengan kos RM520,000.

Sehubungan dengan itu, sebanyak 41 laporan polis daripada pelbagai badan bukan kerajaan (NGO) dan parti politik berhubung kenyataan yang dikeluarkan Muhammad Nizar.

Beliau disiasat mengikut Akta Hasutan.

Harakah Daily

Tiada ulasan: