26 April 2012

RM47,000 lesap di lebuh raya

4 Jamadil Akhir 1433H. [MOD] -

SEREMBAN – Seorang ahli perniagaan rugi RM47,000 disamun sekumpulan penjenayah bertopeng dalam kejadian langgar dan samun di Kilometer 259, Lebuhraya Utara-Selatan, arah selatan berdekatan Plaza Tol Port Dickson, di sini, kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 1.50 petang itu, lelaki berusia 47 tahun itu dalam perjalanan ke Senawang dengan memandu kereta jenis Nissan selepas mengeluarkan wang daripada sebuah bank di Rasah.

Menurut sumber, sejurus tiba di tempat kejadian, mangsa yang bersendi­rian dilanggar dua kereta jenis Toyota dan Mercedez, dinaiki tiga lelaki.

Bagaimanapun, mangsa tidak memberhentikan kenderaan dan meneruskan perjalanan sebelum suspek bertindak menghalang kereta mangsa di hadapan dan belakang.

“Mangsa dihampiri tiga suspek bertopeng, dipercayai membawa pisau dan turut memecahkan cermin kereta hadapan bahagian penumpang,” katanya semalam.

Sumber berkata, suspek mengambil wang berjumlah RM47,000 di bahagian tempat duduk penumpang hadapan dan turut menoreh tayar kereta mangsa menggunakan pisau.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Saiful Azly Kamaruddin mengesahkan menerima laporan kejadian itu.

Sehubungan itu katanya, orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat mengenai kejadian itu diminta menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seremban menerusi talian 06-6014999 atau balai polis berdekatan bagi membantu siasatan.

Agency

Tiada ulasan: