26 April 2012

Pemuda PAS Wilayah sedia sambut tetamu Bersih 3.0

4 Jamadil Akhir 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR: Mungkin perhimpunan aman Bersih 3.0 adalah jalan terakhir buat rakyat untuk menyelamatkan Malaysia dari sebarang penipuan dan penodaan terhadap nilai demokrasi negara.

Sehubungan itu, Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan (DPPWP) mengalu-alukan kehadiran semua peserta perhimpunan Bersih 3.0 ‘Duduk Bantah’ ke Dataran Merdeka pada 28 April ini.

DPPWP menganggap kehadiran semua tetamu yang hadir sama ada peserta Bersih 3.0, wakil-wakil media, pemerhati dan NGO antarabangsa serta pemimpin parti politik bakal memeriahkan suasana ibukota Kuala Lumpur pada tarikh tersebut, kata Timbalan Ketuanya, Mohamad Suhaimi Abdul Aziz.

Katanya, DPPWP amat kagum dengan kesungguhan rakyat dari pelbagai peringkat yang berusaha hadir ke Dataran Merdeka pada tarikh tersebut.

“Meskipun sendat dengan pelbagai jadual kehidupan, mereka sanggup mengosongkan tarikh bagi memberi laluan kepada perhimpunan gergasi ini.

“Malah mereka sanggup berdepan dengan risiko ditahan, ditangkap, dicederakan dan pelbagai kemungkinan lain,” ujarnya kepada Harakahdaily.

Katanya lagi, kehadiran peserta ke perhimpunan Bersih 3.0 menunjukkan kematangan rakyat Malaysia dalam menerima alur politik negara.

Menurutnya, rakyat sudah semakin celik maklumat dan amat mudah memahami situasi politik dalam negara ini yang berada dalam keadaan gawat.

Beliau menambah, landskap politik negara yang sudah tersasar jauh dari landasannya, perlu segera diselamatkan sebelum terlewat.

“DPPWP bersama rakan-rakan dari Dewan Pemuda PAS Kawasan-kawasan di Wilayah Persekutuan bersedia menyambut tetamu pelbagai peringkat ini dengan kemampuan yang ada,” ujarnya.

Oleh yang demikian, kata beliau kawasan-kawasan di sekitar Wilayah Persekutuan telah menyediakan penginapan yang terdiri dari markaz PAS kawasan-kawasan, Pasti serta rumah aktivis tempatan.

Selain itu, katanya DPPWP menasihatkan para pemandu perkhidmatan awam dan juga pengguna jalan raya agar mencari laluan alternatif menjelang 28 April sebagaimana biasa dibuat oleh kerajaan apabila ada aktiviti besar diadakan di ibu negara bagi mengelakkan mereka terperangkap dalam kesesakan.

“Para peniaga juga diseru agar tidak merasa bimbang untuk meneruskan perniagaan mereka kerana rekod perhimpunan bersih yang diadakan sebelum ini tidak ada yang mengecewakan sesiapa.

“Malah hasil jualan mereka mungkin akan berlipat kali ganda daripada hari lainnya,” katanya.

Akhirnya, ujar beliau DPPWP mengajak anak-anak muda supaya menyertai perhimpunan Bersih 3.0 seramai mungkin.

Harakah Daily

Tiada ulasan: