26 April 2012

Diseret lori 10 meter

4 Jamadil Akhir 1433H. [MOD] -

KUANTAN - Sekumpulan kakitangan Jabatan Kerja Raya (JKR), yang sedang bertugas menjalankan bancian lalu lintas terkejut mendengar bunyi brek yang kuat sebelum melihat sebuah kenderaan diseret lori treler.

Mereka kemudiannya bergegas ke arah kenderaan apabila mendapati kedua-dua kenderaan itu berhenti untuk memberi bantuan kepada mangsa.

Saksi awal kejadian, Wan Nasarudin Wan Aziz, 36, berkata, dia melihat sebuah kenderaan Perodua Alza yang dipandu seorang wanita diseret lori lebih 10 meter sebelum melanggar tiang lampu isyarat.

“Kami berusaha membantu mengeluarkan mangsa tetapi gagal kerana kedua-dua kakinya tersepit. Bagaimanapun seorang daripada rakan saya menghubungi Balai Bomba dan Penyelamat Bukit Ubi,” katanya.

Katanya, ketika itu, wanita terbabit mengerang menahan kesakitan tetapi dia menenangkan mangsa itu supaya bersabar kerana mereka berusaha membantu mengeluarkannya dari keretanya yang rosak teruk.

Wan Nasarudin mengakui walaupun kejadian itu tidak membabitkan dirinya, dia tetap trauma serta fobia kerana kemalangan berkenaan berlaku di depan matanya dalam tempoh tidak sampai setengah jam.

Dalam kejadian kira-kira jam 3 petang, mangsa, Hayati Hanafi, 36, dari Felda Lepar Hilir, di sini, yang tersepit di tempat duduk pemandu mengalami kecederaan parah di kaki kanan dan cedera di bahagian badan.

Mangsa dikejarkan ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) dengan bantuan Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM). Difahamkan, ketika kejadian mangsa dari arah Sungai Soi, di sini, sebelum tiba di Simpang Tiga Lampu Isyarat Sungai Soi, Jalan Kuantan-Pekan dan cuba membelok ke kanan untuk menghala ke arah Inderapura.

Bagaimanapun, pada masa sama, lori berkenaan yang datang dari arah Kuantan menghala ke Pekan tidak sempat mengelak berikutan jarak terlalu dekat sebelum melanggar kenderaan yang dipandu mangsa.

Sementara itu, Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat negeri, Anuar Hassan, berkata pihaknya yang menerima panggilan daripada orang awam bergegas ke tempat kejadian dengan satu jentera bersama 11 anggota.

Menurutnya, pihaknya terpaksa mengambil masa kira-kira 15 minit untuk mengeluarkan mangsa akibat kedua-dua kakinya tersepit sebelum dikejarkan ke HTAA untuk menerima rawatan.

Sinar Harian

Tiada ulasan: