26 April 2012

Syria perlu hormati gencatan senjata

4 Jamadil Akhir 1433H. [MOD] -

DAMSYIK - Majlis keselamatan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) dimaklumkan, Syria gagal mematuhi perjanjian gencatan senjata dan bandar-bandar yang dikawal pemerhati PBB mungkin diserang.

Perantara antarabangsa, Kofi Annan, menegaskan kepada 15 negara anggota, mereka perlu menyediakan pemerhati dan pendengar yang mampu bergerak bebas serta pantas dalam memantau gencatan yang dianggap tidak tersusun.

Jelas Annan, kuasa tentera Syria masih belum menarik balik penggunaan senjata berat dan berundur seperti yang dikehendaki.

“Situasi di Syria masih belum boleh diterima. Pihak berkuasanya perlu memberikan komitmen penuh dan harus menghormati gencatan terhadap keganasan itu,” katanya.

Annan berpendapat, kerajaan Syria menyasarkan serangan terhadap penduduk di kawasan pantauan PBB dan paling mencemaskan, apabila tentera kerajaan memasuki Hama kelmarin, membedil dengan senjata automatik dan sebilangan penduduk terbunuh sejurus pemerhati meninggalkan kawasan itu.

Kelmarin, seramai lima penduduk di Douma dibunuh dan berpuluh lagi cedera, apabila rejim menembak bandar sehari selepas kumpulan pemerhati PBB melawat kawasan berkenaan.

Setiausaha Umum Keamanan PBB, Herve Ladsous berkata, kumpulan pemerhati terpaksa bergerak secara perlahan sehingga akhir April dan Mei depan, selain 100 daripada 300 pemerhati akan mendapat penempatan.

Sinar Harian

Tiada ulasan: