15 Mei 2010

Mengapa Zambry tidak hadir di majlis Orang Asli

29 Jamadil Awal 1431 H

IPOH, 13 Mei: Dewan Pemuda PAS Negeri Perak (DPPN Pk) hairan dengan sikap berdalih Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir berkaitan isu masyarakat Orang Asli di negeri ini yang hanya dianggap cukup membuat lawatan sahaja ke kawasan penempatan mereka.

Naib Ketuanya, Salman Salleh berkata, Zambry menganggap lawatan seperti seolah-olah sudah menunjukkan keprihatinannya terhadap pembangunan dan kebajikan semua masyarakat Orang Asli selama ini.

Justeru, katanya DPPN Pk mempertikai majlis perasmian program 'Dekat di Mata, Lekat di Hati’ di Kampung Tangkai Cermin dan Kampung Cenderong Kelubi, Tanjung Tualang, baru-baru ini yang hanya dirasmikan oleh Pegawai Khas Menteri Besar, Azhar Ahmad serta dihadiri pegawai khas (Hal Ehwal Orang Asli) Menteri Besar, Panjang Ali Sohor.

“Mengapa Datuk Seri Zambry tidak hadir sendiri bagi menyempurnakan majlis perasmian tersebut?” soalnya.

Ini, menurutnya jelas menunjukkan bahawa Zambry tidak prihatin terhadap masyarakat Orang Asli.

Katanya lagi, jika beliau tidak dapat hadir pada hari tersebut, maka majlis perasmian tersebut boleh dipinda atau diadakan di tempat yang lain.

”Mengapa hanya menghantar pegawai-regawai sahaja bagi merasmikan program yang dianggap penting tersebut?” katanya.

Ini, jelasnya tidak berlaku semasa pemerintahan negeri diterajui Datuk Seri Ir Haji Mohammad Nizar Jamaluddin yang tidak dapat dinafikan akan keikhlasan dan keprihatinannya terhadap masyarakat Orang Asli.

Harakahdaily/-

Tiada ulasan: