15 Mei 2010

PELABURAN AMANAH RAYA BERHAD DALAM MAGNUN CORPORATION

1 Jamadil Akhir 1431H.

Dewan Pemuda PAS Kawasan Gopeng (DPPKG) mengucapkan tahniah diatas keberanian Sahibus Samahah Tan Sri Dr. Hj. Harussani Zakaria, Mufti Kerajaan Perak yang berani mengeluarkan kenyataan menentang keputusan kerajaan Barisan Nasional yang meluluskan lesen perjudian dan menyifatkannya sebagai menentang hukum syarak. DPPKG juga berharap lebih ramai mufti serta cerdik pandai Islam tampil untuk membuat kenyataan menentang keputusan kerajaan ini yang secara terang-terangan bertentangan dengan hukum Allah SWT dan sudah pastinya memberikan kesan negatif kepada rakyat.

Walaubagaimanapun DPPKG juga melahirkan rasa sedih terhadap tindakan Amanah Raya Berhad (ARB) yang melabur sebahagian dari dana di dalam syarikat Magnum Corporation Berhad yang merupakan sebuah dari syarikat perjudian berlesen. Dalam laporan tahunan 2006 yang dikeluarkan oleh syarikat berkenaan pada mukasurat 121 dan 122 menunjukkan bahawa Amanah Raya Berhad melalui Amanah Raya Nominess (Tempatan) Sdn Bhd merupakan sebahagian dari 30 pemegang saham terbesar syarikat perjudian tersebut dengan 1.06% pegangan atau 15,487,200 saham.

DPPKG menyatakan rasa kesal kerana menurut laporan tahunan 2007 dan 2008 mufti Perak masih lagi menjadi sebahagian dari Panel Syariah ARB. DPPKG merasakan sebagai anggota panel syariah syarikat berkenaan, Mufti Perak seharusnya bertanggungjawab untuk menghalang pelaburan dibuat oleh ARB ke dalam syarikat-syarikat yang melibatkan perjudian. Lebih malang lagi Pengerusi ARB, Dato’ Dusuki Ahmad adalah bekas Ketua Pengarah dan Pengerusi Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) yang mempunyai kelulusan Sarjana dari Universiti Al-Azhar, Mesir.

DPPKG berharap agar Tan Sri Mufti Perak mengambil tindakan sewajarnya bagi melindungi saham-saham yang dimiliki oleh orang Islam di dalam ARB dari dicemari sumber haram. DPPKG juga amat berharap pengurusan ARB akan segera menarik balik pelaburan tersebut dari Magnum Corporation sebagaimana yang dilakukan oleh Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) sebelum ini.

HARIS BIN ALIMUDIN
Ketua Penerangan
Dewan Pemuda PAS
Kawasan Gopeng

3 ulasan:

mohd ali ismail berkata...

Malaysia menghala langkah kearah Sekular dari segi ugama Islam.Kebanyakan orang Melayu Islam tidak mengikut ajaran Islam bermula dari Rukun Islam lagi.Ketara dikota Kuala Lumpur ini dimana hukum Allah diabaikan dengan bermacam rupa.Salahnya dari keruntuhan moral dari cara pelajaran disekolah rendah lagi.

Unknown berkata...

sila dapatkan maklumat yg tepat berkenaan hal ini.jgn bersandarkan hanya pada annual report sahaja..

Tanpa Nama berkata...

annual report itu lah bukti...tak kan ada laporan tahunan palsu pulak...tak kan tak faham..