21 Februari 2012

Polis tahan 21 orang, rampas mesin judi

28 Rabi'ul Awal 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR - Polis menahan 21 orang, merampas 83 mesin judi berkomputer serta wang tunai RM1,479 dalam serbuan di lima premis perjudian tanpa lesen di Taman Cahaya, Ampang, dekat sini malam tadi.

Pegawai Turus Bahagian Kongsi Gelap, Perjudian dan Maksiat (D7) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor, DSP Izwan Abdul Karim berkata mereka yang berumur antara 20 dan 38 tahun terdiri daripada l6 lelaki dan lima wanita itu ditahan kerana dipercayai terbabit dalam aktiviti tersebut.

Bercakap kepada pemberita di sini, Izwan berkata dalam serbuan itu juga polis mendapati pengusaha premis judi menggunakan gerai makan di hadapan premis mereka untuk "menutup" pusat perjudian bagi mengaburi mata pihak berkuasa.

Pemilik premis cuba menarik minat pelanggan dengan menawarkan pelbagai bentuk cabutan bertuah menerusi pengumpulan mata tertinggi yang boleh diguna untuk menambah mata judi bagi permainan seterusnya atau ditukar kepada wang tunai.

Izwan berkata kes disiasat mengikut Seksyen 4B(a) Akta Rumah Perjudian Terbuka 1953 (Pindaan 2001) yang memperuntukkan denda RM10,000 bagi setiap unit mesin atau penjara sehingga lima tahun.

Beliau berkata operasi dua jam bermula 11.15 malam itu disertai 10 pegawai dan 35 anggota dari D7 IPK Selangor dan Polis Daerah Ampang Jaya. - Bernama

Sinar Harian

Tiada ulasan: