21 Februari 2012

Jeritan disangka gurauan

28 Rabi'ul Awal 1433H. [MOD] -

SERI ISKANDAR - “Saya sangka jeritan dua kanak-kanak meminta tolong mengatakan ada orang lemas adalah gurauan. Tapi isteri merasa curiga, saya kemudiannya mendapatkan dua kanak-kanak ini yang berada di gigi air.

Demikian kata saksi kejadian mati lemas, Shahrul Fahizan Husain, 38, di lombong Lake Ville Bandar Universiti, malam kelmarin.

Shahrul berkata, ketika kejadian dia baru sahaja balik membeli-belah dari Manjung apabila melihat dua kanak-kanak Iman Ibrisam, 12, dan Ismail Ibrisam, 9, berlari-lari dari arah lombong berkenaan meminta tolong.

Menurutnya, dia menyangka ia adalah gurauan namun perasaan curiga isterinya menyebabkan dia segera ke lombong berkenaan mendapatkan dua kanak-kanak yang berada di gigi air.

“Saya tidak menunggu lama, terus tarik dua kanak-kanak ini naik ke atas dan mereka memberitahu ibu saudara yang dipanggil mak su ada di dalam lombong ini,” katanya yang tinggal di kawasan perumahan berhampiran lombong berkenaan.

Katanya, selepas itu jiran-jiran lain segera menghubungi polis dan ambulans untuk meminta bantuan.

Mangsa yang lemas Nurul Hasmak Amir Hamzah, 22, berasal dari Kampung Bukit Payung, Kuala Berang Terengganu dikatakan cuba menyelamatkan anak-anak saudaranya iaitu Iman, Ismail, Sumaiyah dan Isa.


Nurul Hasmak jaga anak saudara

SEMENTARA itu, abang ipar mangsa, Ibrisam Akbar, 37, berkata, Nurul Hasmak dan ibu mertuanya datang dari Terengganu untuk menjaga anak-anaknya sementara beliau menjaga isteri dan bayi yang baru dilahirkan di hospital di Ipoh.

“Isteri saya Suzilawati, 36, baru melahirkan anak kami yang kelima pada 14 Februari lalu tetapi anak kami dijangkiti demam kuning dan terpaksa dimasukkan ke hospital semula.

“Nurul Hasmak dan ibu mertua saya datang dari Terengganu lima hari lalu untuk menjaga isteri saya dalam pantang serta anak-anak,” katanya.

Ibrisam berkata, hubungan antara Nurul Hasmak dan anak-anaknya sangat rapat kerana arwah yang menjaga setiap kali anaknya lahir.

“Memang Nurul Hasmak yang menjaga anak-anak saudaranya apabila mereka lahir dan ada kelapangan.

“Kali ini juga Nurul Hasmak mengambil alih untuk menjaganya sementara isteri saya masih di wad bersama bayi kami,” katanya yang bekerja sebagai pensyarah di salah sebuah IPTA di sini.

Keluarga berkenaan yang sebelum itu tinggal di Tronoh baru sahaja berpindah ke kawasan perumahan berkenaan tiga minggu lalu.


Operasi mencari bermula 8.46 malam

MANAKALA, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Seri Iskandar, Zaiful Efendi Ahmad berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 5.54 petang dan sampai di tempat kejadian pada jam 6 petang.

“Pasukan scuba dari Ipoh yang diketuai oleh penyelia pasukan scuba, Abdul Majid Abdul Rashid pula tiba di tempat kejadian pada jam 8.46 dan terus memulakan operasi mencari mangsa.

“Kami menutup operasi pencarian pada jam 11.30 malam apabila mayat mangsa telah dijumpai,” katanya dengan dibantu oleh 10 anggota bomba selain anggota polis dan Rela.


Mangsa dijumpai 10.56 malam

KETUA Polis Daerah Perak Tengah, Superintendan Mohamad Fakri Che Sulaiman berkata, pihaknya menerima laporan mengenai kejadian pada jam 6.20 petang dan memulakan operasi pencarian pada jam 6.30 petang.

“Kejadian berlaku pada jam 5.45 petang dan berdasarkan maklumat orang awam kami meneruskan operasi mencari di kawasan mangsa hilang.

“Operasi ini turut dibantu oleh pasukan bomba Seri Iskandar dan pasukan scuba dari Ipoh selain daripada ahli Rela,” katanya.

Katanya, mangsa yang dikenali sebagai Nurul Hasmak Amir Hamzah dijumpai pada jam 10.56 malam oleh pasukan scuba Ipoh pada kedalaman 25 kaki di dasar lombong dalam keadaan tertiarap.

Sinar Harian

Tiada ulasan: