21 Februari 2012

Serangan di Sembrong: Empat dipanggil polis

28 Rabi'ul Awal 1433H. [MOD] -

Empat individu telah dipanggil bagi membantu siasatan polis berhubung kejadian di Sembrong pada malam Ahad lalu.

Menurut Ketua Polis Daerah Kluang Asisten Komisioner Abdul Majid Mohd Ali, kejadian yang menyebabkan kereta ketua umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim, rosak dan kemek itu akan disiasat di bawah Seksyen 148 dan 440 Kanun Keseksaan.

Seksyen itu berkaitan dengan rusuhan yang menggunakan senjata.

"Antara mereka yang dipanggil adalah saksi kejadian dan mereka yang membuat laporan itu," katanya dalam perbualan telefon dengan Malaysiakini lewat petang semalam.

Beliau berkata polis masih belum mengenal pasti mana-mana suspek lagi.

Abdul Majid, bagaimanapun, enggan mengesahkan dakwaan PKR bahawa kejadian berkenaan berlaku, di sebalik kehadiran sekurang-kurangnya 20 anggota polis yang berpakaian seragam.

"Kami memang mengawal keadaan pada malam itu dan akan menyiasat perkara (yang didakwa) tersebut," katanya.

Semalam, pada sidang akhbarnya, setiausaha agung PKR Datuk Saifuddin Nasution berkata kejadian di pejabat PKR di Jalan Mersing di Sembrong itu membabitkan kira-kira 50 hingga 80 anak muda yang berusia dalam lingkungan 15 hingga 18 tahun.

NONEBeliau juga mendakwa bahawa penduduk tempatan memaklumkan kepada mereka bahawa remaja bermotosikal itu membaling kayu, batu dan juga mercun ke arah kereta Anwar dan mereka dipercayai adalah ahli Umno.

Pada kejadian itu, cermin depan kereta Anwar retak manakala pintu Mercedes Benz miliknya telah kemek. Ketua Pembangkang itu, bagaimanapun tidak mengalami sebarag kecederaan tetapi terpaksa menaiki kereta lain untuk perjalanan pulangnya ke Kuala Lumpur.

Seorang pemimpin PKR tempatan dilaporkan mengalami kecederaan ringan dalam pertengkaran berkenaan.

Sembrong adalah kawasan parlimen Menteri Dalam Negeri yang juga adalah Naib Presiden Umno, Datuk Seri Hishammuddin Hussein.

malaysiakini/-

Tiada ulasan: