21 Februari 2012

Hidup diselubungi bau busuk

28 Rabi'ul Awal 1433H. [MOD] -

PONTIAN – Kira-kira 30 keluarga yang tinggal di Projek Rakyat Termiskin (PPRT) Desa Murni, Pontian, di sini, terpaksa membuang sampah di merata tempat berikutan tiada tong khas disediakan untuk ­kemudahan membuang sisa pepejal itu.

Rata-rata penduduk mengakui ­tiada pilihan selain terpaksa menjadikan kawasan belukar, sungai, parit serta belakang rumah, sebagai ­tempat pembuangan ‘sampah haram’­ ­sejak lebih 10 tahun lepas.

Seorang penduduk, Abd Wahab Busharani, 60, berkata, penduduk terpaksa membuang sampah yang diisi dalam beg plastik ke kawasan tersebut atau membakarnya sahaja bagi melupuskan sisa pepejal itu.

“Ketiadaan perkhidmatan ­mengutip sampah di kawasan perumahan ini hanya menyebabkan ­lambakan sampah serta boleh mencemar keadaan alam sekitar di ­kawasan ini,” katanya.

Abd Wahab berkata, tindakan membuang sampah di merata-rata tempat itu terpaksa dilakukan kerana ia adalah langkah terakhir memandangkan bahan buangan itu sentiasa bertambah setiap hari.

“Sudah puas kami merayu ­kepada pihak berwajib supaya menyediakan satu tempat pembuangan sampah khas dan perkhidmatan mengangkut sampah di kawasan perumahan ini, namun ia masih belum ada jalan ­penyelesaian,” katanya.

Menurutnya, dia juga terpaksa meletakkan dan melonggokkan ­sampah di belakang rumahnya ­sebelum membakar sisa pepejal itu bagi ­mengurangkan masalah ­pencemaran bau yang terpaksa ­dihadapi mereka setiap hari.

“Kami sekeluarga terpaksa menghadapi bau busuk, pembiakan lalat dan nyamuk serta menyebabkan ­selera makan kami sekeluarga sering terganggu akibat daripada masalah ini,” katanya.

Lebih memburukkan keadaan, katanya, mereka sekeluarga juga ­sukar untuk membakar sampah pada ­musim tengkujuh apabila keadaan cuaca hujan berterusan hingga menyebabkan sampah berbau busuk.

“Kami minta pihak berwajib supaya menyelesaikan masalah ini segera kerana kami sudah tidak sanggup dikelilingi sampah bertimbun setiap hari akibat daripada pertambahan bilangan anggota keluarga,” katanya.

Sinar Harian

Tiada ulasan: