21 Februari 2012

Solat hajat '16 OKT mansuh ISA' malam ini

28 Rabi'ul Awal 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR, 21 Feb: Satu majlis solat hajat dan ceramah khas 'Solidariti Untuk 16 OKT Kes Mansuh ISA' akan diadakan pada malam ini di surau Kolej Universiti Islam Zulkifli Muhammad (KUIZM), Taman Melewar.

Menurut Timbalannya DMPP Dr. Siti Mariah Mahmud, majlis ini diadakan sebagai tanda solidariti kepada kesemua orang kena tahan (OKT) yang akan mendengar keputusan perbicaraan di Mahkamah Tinggi Jalan Duta, esok.

Ketua DMPP, Siti Zailah Mohd Yusof akan turut serta malam ini.

"Semua pejuang yang sayangkan perjuangan mansuhkan ISA ini diseru hadir beramai-ramai sebagai tanda sokongan kepada OKT ini," kata beliau kepada Harakahdaily semalam.

Pada 21 Oktober tahun lalu, 16 OKT ini yang didakwa di bawah Seksyen 143 Kanun Keseksaan dipanggil membela diri kerana pihak pendakwa berjaya membuktikan prima facie kes bagi pertuduhan pilihan di bawah Seksyen 27 Akta Polis.

Jika sabit kesalahan mereka akan didenda dan dipenjarakan.

Lima daripada OKT tersebut merupakan wanita termasuk Ketua Penerangan DMPP, Aiman Athirah Al-Jundi.

Dua lagi iaitu Nashita Md Nor dan Norlaila Othman merupakan aktivis Gerakan MAnsuhkan ISA (GMI) manakala dua lagi iaitu Salmah Ismail and Hayati Abd Samad merupakan Wanita PKR.

Mereka ditahan pada hari perhimpunan aman Mansuhkan ISA pada 1 Ogos 2009 dan menghadapi perbicaraan lebih dua tahun.

Seramai 29 orang didakwa dan 13 tahanan yang merupakan anggota Unit Amal iaitu pertubuhan di bawah Dewan Pemuda PAS Pusat didakwa di bawah Akta Pertubuhan 1966.

13 tahanan itu bagaimanapun dibebaskan kerana pihak pendakwa gagal mengemukakan bukti-bukti bahawa ianya pertubuhan haram dan tidak boleh disabitkan dengan menyertai perhimpunan haram.

Harakah Daily

Tiada ulasan: