21 Februari 2012

Mayat nelayan lemas dijumpai

28 Rabi'ul Awal 1433H. [MOD] -

BANDAR PENAWAR - Mayat nelayan yang lemas di Sungai Papan, kelmarin, dijumpai pada jam 12.25 tengahari semalam, kira-kira dua kilometer dari tempat mangsa dipercayai hilang.

Mayat Mohd Hazli Kasimon, 28, dijumpai terapung dalam operasi mencari dan menyelamat yang dilakukan pihak bomba dan penyelamat.

Ketua Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri Johor, Giman Gunorathi berkata, mayat mangsa dijumpai terapung selepas anggota penyelamat membuat goncangan air di kawasan berkenaan menggunakan bot.

“Selepas membuat goncangan air, kami dapati ada objek yang terapung. Setelah pemeriksaan dilakukan, objek berkenaan adalah mayat mangsa yang hilang dan lengkap berpakaian dijumpai kira-kira dua kilometer daripada tempat kejadian,” katanya kepada Sinar Harian.

Menurutnya, operasi mencari mangsa yang bermula pada jam 8 pagi itu, turut disertai seramai 20 anggota bomba dan penyelamat dengan bantuan peralatan seperti bot dan
jet ski.

“Operasi yang masuk hari kedua digerakkan dengan menggunakan tiga bot dan sebuah jet ski. Malah, kita juga meneruskan operasi mencari sehingga jam 2 pagi semalam, dengan dibantu orang awam dan anggota marin.

“Dengan penemuan mayat mangsa, secara rasmi operasi mencari ditamatkan pada jam 1.50 petang,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintenden Che Mahazan Che Aik, ketika dihubungi telah mengesahkan kejadian tersebut.

“Siasatan awal mendapati mangsa dipercayai terjatuh sebelum kepala dan kakinya terkena bilah kipas enjin bot yang masih berfungsi sebelum dihanyutkan arus.

“Mayat mangsa dibawa ke Unit Forensik Hospital Kota Tinggi untuk dibedah siasat dan dituntut keluarga untuk dikebumikan di tanah perkuburan Felda Papan Timur,” katanya.

Agency

Tiada ulasan: