30 Oktober 2008

Awas ! penipu di mana-mana.

PARIT BUNTAR, 30 Okt. : Pelbagai cara menipu dilakukan oleh manusia untuk mendapat wang mudah. Begitulah yang berlaku di Pejabat Ahli Parlimen Parit Buntar minggu lepas.

Seorang petugas di pejabat ini memberitahu, pejabat ini didatangi oleh seorang lelaki yang memohon simpati kerana berada dalam kesusahan dompet duitnya telah dicuri orang. Bagi menyakinkan petugas-petugas di pejabat, satu salinan laporan polis yang dibuat di Balai Polis Parit Buntar diserahkan kepada petugas ini.

Bagi menyakinkan lagi, beliau memberikan nombor telefon rumahnya. Seperti kebiasaan di pejabat YB ini, sumbangan akan terus diberikan kepada orang berada dalam kesusahan. Kali ini sumbangan lebat juga kerana lelaki ini memberitahu beliau tiada wang untuk pulang ke Johor.

Petugas di pejabat YB memberitahu, dari gaya lelaki ini memang nampak beliau benar-benar memerlukan pertolongan untuk pulang ke Johor.

Apabila lelaki ini beredar dari pejabat YB, seperti biasa petugas pejabat YB akan melakukan siasatan kepada sesiapa tidak dikenali yang datang memohon bantuan. Petugas di pejabat YB mendail nombor telefon rumah yang diberi lelaki tadi.

Telefon ini dijawab oleh seorang perempuan dan dia memberitahu tidak kenal dengan nama lelaki tadi. Kemudian seorang petugas melakukan semakan nombor kad pengenalan lelaki ini dalam salinan laporan polis yang diberi. Semakan dibuat dengan menggunakan online daftar pemilih SPR.

Sah, pejabat YB ditipu kerana nombor kad pengenalan itu tertera nama orang lain bukan nama dalam salinan laporan polis. Petugas di pejabat YB terus keluar meninjau di luar pejabat, tetapi lelaki ini sudah hilang dari pandangan.

Keesokannya, dengan izin Allah seorang petugas ternampak lelaki ini berjalan sedang menuju ke pejabat YB Titi Serong. Terus petugas ini bersama YDP PAS Parit Buntar yang kebetulan berada di pejabat YB Parlimen membuat laporan polis.

Pihak polis datang dan menunggu di kawasan yang agak jauh dari pejabat YB Titi Serong meninjau perlakuan lelaki ini. Beberapa minit kemudian lelaki ini keluar dan apabila beliau berjalan agak jauh dari pejabat YB Titi Serong, pihak polis terus membuat tangkapan. Setakat tarikh 27 Okt., lelaki ini masih berada di lokap polis.

Peristiwa tipu di pejabat YB ini bukan berlaku di Parit Buntar sahaja. Ramai yang mengambil peluang di atas dasar kebajikan yang diperjuangkan oleh Kerajaan PR untuk menipu. Mereka sanggup menipu polis dengan membuat laporan polis palsu semata-mata hendak menyakinkan orang ramai.

Semoga peristiwa ini menjadi pengajaran kepada lelaki ini supaya tidak menipu lagi. Entah berapa manusia yang telah ditipunya sebelum beliau ditangkap. Pengajaran juga kepada petugas di pejabat YB bukan sahaja di Parit Buntar malah di seluruh negara supaya berhati-hati sebelum memberi bantuan.

http://paritbuntar.pas.org.my/