30 Oktober 2008

KERAJAAN NEGERI PR AKAN TINGKATKAN PELABURAN

TEMBUAL KHAS DENGAN DATO SERI MENTERI BESAR

IPOH: Kerajaan negeri Pakatan Rakyat akan mengandakan lagi usaha untuk meningkatkan aktiviti pelaburan dan transaksi ekonomi negeri Perak termasuk dalam bidang industri pelancongan dan perlombongan, kata Dato Seri Ir Haji Mohammad Nizar Jamaluddin.

Menteri Besar berkata, setakat tujuh bulan ini, kerajaan negeri belum berpuashati kerana pencapaiannya masih kecil dan kebanyakannya pula memakan masa jangka panjang untuk menampakkan keberhasilannya.

Bagaimanpun rakyat menyakini akan kemampuan kerajaan negeri Pakatan Rakyat untuk mencapai ke arah itu, di samping para pelabur asing sendiri yang yakin akan kewibawaan Kerajaan Negeri Pakatan Rakyat, kata beliau dalam sidang khas.

Nizar berkata, perbincangan juga sedang diadakan dengan para pelabur membina lapangan terbang baru di Batang Padang, Slim River dan setakat ini, satu kajian (assesmen) sedang dijalankan.

Lokasi di Batang Padang itu lebih ekonomik kerana berada dalam laluan perhubungan darat berbanding dengan cadangan awal di Seri Iskandar. Ia dijangka menelan belanja RM1.6 bilion dan dibiayai oleh pengusaha atau pelabur berkenaan di kawasan seluas 3,000 ekar.

Mengenai program menjadikan negeri berkebajikan, Nizar berkata, beberapa program telah dilaksanakan ke arah itu, seperti pemilikan hak tanah kekal dan bekalan air percuma, pemberian barangan asas seperti beras dan gula kepada yang miskin tegar.

Kerajaan juga memberi anak-anak rakyat negeri Perak yang ditawarkan tempat ke universiti sebanyak RM1,000 seorang di bawah skim Dermasiswa Rakyat, katanya sambil menegaskan bahawa kerajaan negeri juga akan memberi pinjaman tanpa faedah kepada pelajar anak negeri Perak yang ditawarkan untuk membuat Diploma dan Ijazah pertama mengikut paras kelayakan tertentu.

Selain itu kerajaan negeri Perak:

+ akan menambah elaun Ketua kampong baru, kampong tradisional dan kampong tersusun dengan tambahan elaun RM200 sebulan.

+ melaksanakan skim membantu keluarga rakyat negeri Perak yang meninggal dunia ketika berusia 65 tahun ke atas. Jika rakyat meninggal dunia pada usia itu dan termasuk dalam kategori kurang berkemampuan, bantuan sehingga RM1,500 akan disalur pada keluarga berkenaan bagi meringankan bebanan keluarga berkenaan menanggung kos-kos pengkebumian.
Skim ini untuk semua bangsa dan kerajaan berharap dapat dibuat sewal-awalnya pada pertengahan tahun 2009, katanya sambil menegaskan bahawa kerajaan negeri sedang mengkaji skim-skim yang bersesuaian termasuk dengan takaful atau mana-mana syarikat insurans.

Mengenai golongan miskin tegar pula, beliau akan mencadangkan agar kumpulan ini dapat diserapkan menjadi peserta tanah-tanah rancangan sama ada yang diusahakan di SADC, Perbadanan Pembangunan Pertanian ataupun oleh agensi-agensi lain seperti Felcra.

Rakyat miskin tegar yang menjadi peserta akan mendapat elaun dan pendapatan tambahan bulanan.

Mengenai perbezaan pendapat dalam Pakatan Rakyat pula, beliau berkata perselisihan pendapat antara ketiga-tiga parti komponen pakatan rakyat sudah menjadi sangat minimum berbanding sebelum ini.

“Kalau adapun hanya daripada segi pelaksanaan atau aspek teknikal sahaja. Daripada segi prinsipnya kita telah pun menunjukkan kematangan untuk menerima perjalanan dan gabungan Pakatan Rakyat. Ini juga berlaku di peringkat pusat. Jadi sekarang ini saling hormat-menghormati dan persefahaman ini sungguh matang…. menjadi sungguh baik. Semakin lama, kita berharap hubungan ini akan nenjadi lebih baik.”

Mengenai perkembangan masa hadapan Pakatan Rakyat, Nizar memohon semua parti gabungan pakatan rakyat mulai bekerja keras untuk menambah dan mempertahankan kedudukan kerusi (yang dimenangi pada PRU12) pada PRU13.

Beliau berkata semua pihak dalam PR kena berusaha mempertahankan dan menambahkan sokongan dan membantu, serta PAS dan PKR akan meletakkan calon-calon berwibawa dan memastikan kemenangan bertambah.

“PAS bertanding 21 kerusi dan hanya memenangi 6 kerusi sahaja… ini bermakna PAS kena bekerja lebih kuat bagi memasti memenangi 15 lagi kerusi. Yang jelas seluruh jentera Pakatan Rakyat mesti bekerja kuat memastikan kemenangan lebih banyak kerusi.’

Mengenai suasana politik di Malaysia sekarang, beliau berkata ia menuju ke arah penerimaan sistem demokrasi yang jauh lebih matang. Rakyat ingin melihat sebuah kerajaan yang telus, berwibawa, berintegriti serta kerajaan yang memenuhi janji dan bersikap adil pada semua kaum. Masyarakat tidak mahu lagi melihat politik berasaskan sentimen perkauman.

Mengenai 2009, Nizar berharap semua rakyat memberi sokongan dan bersatu hati untuk memajukan Perak dan mencapai tahap pertumbuhan lebih tinggi daripada pencapaian nasional.

“Saya juga berharap dapat menghapuskan rakyat miskin tegar dalam 2009 dan mewujudkan hubungan erat dengan penjawat awam dan institusi istana.

“Kerajaan negeri juga berharap dapat mengurangkan defisit belanjawan pada tahap lebih rendah daripada 2008 iaitu bawah RM40 juta dan berharap dikurangkan lagi pada tahun depan, dengan harapan akan wujud belanjawan seimbang pada 2010. ”