31 Mei 2013

Kerajaan Sarawak Perlu Bina Jalan Alternatif Mengelak Tragedi Bot Karam

21 Rejab 1434 H. [MOD] -


Kita amat simpati dengan nasib yang menimpa para penumpang dan mangsa
tragedi bot ekspres karam baru-baru ini di Tanjung Tukok Punyang Gian,
Batang Rajang.

Antara punca tragedi bot ekspres karam adalah disebabkan terlalu ramai
penumpang sehingga melebihi had yang dibenarkan. Menurut Pengerusi
Lembaga Sungai-sungai Sarawak (LSS) Datuk Roland Sagah Wee Inn
mendedahkan bahawa siasatan awal mendapati nahas bot ekspres karam di
Tanjung Tukok Punyang Gian, Batang Rajang kelmarin, berpunca daripada
kegagalan enjin.

Kejadian seperti ini boleh dielakkan sekiranya semua pihak yang
terbabit mematuhi peraturan yang telah ditetapkan oleh pihak
keselamatan dan juga pihak yang berkenaan.

Walaubagaimana pun pihak kerajaan jangan mengambil mudah dengan
perkara ini dengan hanya bertindak apabila sesuatu kejadian berlaku
sedangkan selama ini mereka yang terbabit terpaksa memenuhi pemintaan
para penumpang yang berebut-rebut hendak pulang ke kampung
masing-masing terutama sekali semasa musim perayaan.

Jalan sungai adalah satu-satunya cara untuk mereka pulang atau cara
pengangkutan untuk mereka sampai ke destinasi. Maka pihak kerajaan
juga perlu mencari jalan alternatif untuk kemudahan penduduk yang
tinggal di luar bandar yang terpaksa menggunakan sungai. Selain
menggunakan jalan sungai sepatutnya jalan darat juga perlu disediakan
untuk kemudahan penduduk di kawasan luar bandar.  Ini akan memberi
mereka pilihan dan kemudahan selain menggunakan sungai sebagai jalan
alternatif untuk mereka pulang ke kampung.

Kita mengesa pihak kerajaan agar segera membina jalan alternatif untuk
menyelasaikan masalah ini supaya penduduk tidak berebut-rebut untuk
sampai ke destinasi masing-masing semasa musim perayaan yang terpaksa
menggunakan jalan sungai.

Kepada mereka yang merayakan Hari Gawai terutama kaum Dayak, kita
mengucapkan selamat bergawai dan berhati-hati ketika pulang ke tempat
destinasi masing-masing. Hati-hati di sungai dan di darat sebab jalan
sungai dan jalan darat di Sarawak amat merbahaya kalau kita cuai dan
tidak berhati-hati ketika memandu. Jangan memandu dalam keadaan
mengantuk dan mabuk sebab ini boleh menyebabkan kemalangan. Selamat
Gawai kepada kaum Dayak.

Jofri Jaraiee
PAS Sarawak

Tiada ulasan: