31 Mei 2013

Polis: Seorang lagi disahkan selamat, 4 masing hilang

21 Rejab 1434 H. [MOD] -


Seorang lagi penumpang yang disenaraikan hilang dalam kejadian bot karam di Sungai Rajang Selasa lepas, disahkan selamat.

Ketua Polis Daerah Belaga DSP Bakar Sebau yang mengesahkan perkara itu, berkata Ejang anak Nabau yang telah pulang ke rumah panjangnya tampil membuat laporan polis di Balai Polis Kapit malam tadi.

Beliau berkata berikutan itu, hanya empat lagi penumpang bot ekspres itu yang masih disenaraikan hilang.

Mereka ialah Maurice anak Ajan, Simon anak Patrick, Roslin anak Jati dan seorang lelaki yang hanya dikenali sebagai Paulus, katanya di Belaga hari ini.

Beliau berkata gerakan mencari dan menyelamat disambung semula pukul 7 pagi ini.

Sementara itu, Jabatan Perdana Menteri dan Parti Rakyat Sarawak (PRS) menyediakan peruntukan sebanyak RM93 ribu untuk membantu semua mangsa tragedi bot ekspres karam itu.

Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Belaga Liwan Lagang berkata sehubungan itu penumpang yang selamat dan masih tidak membuat laporan polis diminta segera membuat laporan untuk memudahkan proses menyalur bantuan.

"Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Joseph Entulu Belaun telah memberitahu saya mengenai peruntukan bantuan itu dan bantuan akan dibuat berdasarkan senarai sahih laporan polis itu," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Ini bermakna, seramai 198 penumpang ditemui selamat setakat ini dalam tragedi itu.

-Bernama

Tiada ulasan: