21 Ramadhan 1432H. [MOD] -
Selepas dua minggu mencuri perhatian ekoran dikatakan mendapat kerakyatan dalam tempoh empat jam, Mismah -- pekerja di sebuah syarikat jualan langsung -- kini enggan diwawancara pihak media.
Baginya, cukuplah berita yang ditulis tentang dirinya oleh pelbagai media sejak hari pertama disiarkan sehinggalah dikunjungi Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Noh Omar baru-baru ini.
Ketika ditemui Malaysiakini di gerai tempat wanita itu berniaga di ibu negara semalam, Mismah -- anak kelahiran Bawaen, Indonesia -- itu bagaimanapun masih mesra dan ramah berbual.
Jelasnya, beliau cuma tidak mahu lagi kenyataannya dipetik media mahupun gambarnya di gerai itu dirakamkan, walaupun dipujuk berkali-kali.
"Sudah banyak tentang diri saya ditulis," katanya petang semalam menjelang waktu berbuka puasa di gerai kecil 10 kali 10 kaki di depan sebuah kedai baju di pusat bandar Kuala Lumpur.
Selepas bekerja sebagai tukang sapu di sebelah siang, pada malamnya beliau mengambil kesempatan meniaga sempena hari raya yang bakal tiba hujung bulan ini.
Ketika kunjungan itu, Mismah, 47 kelihatan menunggu pelanggan di gerai baju kurungnya. Beliau tidak lagi menjual tudung seperti dilaporkan baru-baru ini.
Memandangkan hujan agak lebat pada masa itu, keadaan agak lengang dan tidak ramai mengunjungi gerainya -- tidak seperti kelaziman di Jalan Tuanku Abdul Rahman yang sesak setiap kali menjelang musim perayaan.
Tiga soalan, jawapan off record
Selepas dilaporkan Malaysiakini pada 2 Ogos, isu sama ada ibu kepada empat anak itu merupakan penduduk tetap (PR) yang diberikan hak mengundi hangat diperdebatkan.
Tambahan lagi apabila statusnya di laman dalam laman web Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) bertukar daripada PR kepada warganegara selepas empat jam berita itu disiarkan.
JPN bagaimanapun sehari selepas itu membuat penjelasan bahawa dakwaan itu tidak benar dan kewarganegaraan wanita itu sebenarnya diluluskan pada 31 Januari lalu.
Laporan itu disusuli penampilannya kali pertama kepada Sinar Harian pada 12 Ogos -- sepuluh hari selepas itu di mana beliau dilaporkan menolak mendapat kerakyatan mudah melalui "pintu belakang".
Sebaliknya, jelas Mismah, beliau juga menjalani laluan sukar apabila mendapat kerakyatan setelah menjadi PR selama 29 tahun dan dua kali memohon menjadi warganegara.
Kunjungan Malaysiakini semalam bagi mendapatkan penjelasan bagaimana Mismah mendapat taraf PKR dalam tempoh beberapa bulan sahaja ketika masih belasan tahun dan siapa yang membawanya masuk ke negara ini pada tahun 1982.
Selain itu, masih ramai tertanya-tanya apa yang mendorongnya membuat permohonan baru di Putrajaya setelah gagal kali pertama dan apa yang mendorongnya mendafar sebagai pemilih tidak lama selepas mendapat taraf itu.
Sebahagian daripada soalan itu dijawab oleh Mismah tetapi Malaysiakini tidak dapat menyiarkan atas permintaannya supaya perbualan itu tidak dirakamkan atau off record.
Ketika beredar, keramahan Mismah jelas kelihatan apabila beliau sempat mencadangkan tempat berbuka puasa sekitar kawasan itu kepada pemberita dan juruvideo Malaysiakini.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan