21 Ogos 2011

Rusuhan Seperti Di UK Boleh Berlaku Di Jerman

21 Ramadhan 1432H. [MOD] -

BERLIN: Kejadian rusuhan dan penjarahan yang berlaku di Britain baru-baru ini, termasuk kejadian seorang pelajar Malaysia berusia 20 tahun, Mohamed Asyraf Haziq Rossli yang dipukul dan dirompak dalam rusuhan itu, dipantau oleh Jerman.

Malahan, pakar keselamatan dan polis Jerman telah membuat persediaan bagi menghadapi sebarang kemungkinan berlakunya rusuhan sepertimana di Britain yang telah mengakibatkan kemusnahan besar-besaran, lapor Bernama Online.

Seorang pegawai kesatuan polis Jerman baru-baru ini memberi amaran bahawa rusuhan sepertimana di Britain boleh berlaku di Jerman. Namun ahli politik Jerman segera menolak andaian bahawa rusuhan seperti itu akan berlaku di negara itu.

Rainer Wendt, pengerusi Deutsche Polizei Gewerkschaft (Kesatuan Polis Jerman), baru-baru ini dalam temu bual dengan akhbar tabloid Jerman, Bild-Zeitung, berkata Jerman turut mempunyai tanda-tanda masalah sosial yang telah menjadi punca rusuhan besar-besaran di London dan beberapa bandaraya lain di United Kingdom selama hampir seminggu.

Wendt berkata rusuhan itu adalah berpunca daripada “jenayah, kebencian terhadap negara dan peminggiran daripada segi kebajikan sosial terhadap kumpulan
tertentu”. Keadaan seperti itu turut wujud di Jerman.

Pakar sosiologi dan aktivis lain turut bersetuju dengan penilaian itu walaupun ahli politik Jerman enggan memperbesarkan masalah itu.

Pakar German mengambil perhatian bahawa rusuhan di Britain dicetuskan oleh pembunuhan lelaki berusia 29 tahun oleh polis di London. Rusuhan itu kemudian memuncak dan merebak ke Manchester dan the Midlands.

Menurut Wendt, demonstrasi 1 Mei yang diadakan setiap tahun di Hamburg dan Berlin berpotensi untuk mencetuskan rusuhan serupa di negara itu.

Rakyat Malaysia di Jerman menyatakan kepada Bernama, situasi di Jerman "jauh lebih baik daripada di Britain”. Bagaimanapun, mereka menyatakan tidak rugi untuk “bersikap lebih berhati-hati".

Pernah berlaku pergaduhan di antara orang asing dan kumpulan tempatan di Jerman namun ianya merupakan kes terpencil.

tv news/-

Tiada ulasan: