05 Mei 2011

Adik Bekas Pengarah Bersalah Terima Rasuah

1 Jamadilawal 1432H. [MOD] -



SHAH ALAM, 4 Mei: Azizi Johan Ariffin, 54, adik bekas pengarah Perbadanan Putrajaya, Datuk Shahoran Johan Ariffin menerima hukuman penjara 15 hari (serentak) dan denda RM315,000 selepas disabitkan bersalah atas enam pertuduhan di bawah Seksyen 10(a)(aa) Akta Pencegahan Rasuah 1997 apabila menerima rasuah berjumlah RM63,000.

Bagi enam pertuduhan tersebut, Azizi yang pernah menjawat jawatan sebagai pengarah di sebuah syarikat lanskap didakwa menerima suapan daripada individu yang sama, iaitu Pengarah Sekitar Indah Sdn Bhd, Mohd Kamil Sapuan dalam bentuk wang tunai yang dimasukkan ke dalam akaun Affin Bank Berhad miliknya.

Kesemua wang tunai tersebut dimasukkan ke dalam akaun Affin Bank Bhd miliknya iaitu sebagai upah membantu mendapatkan tender ’Kerja-kerja Penyelenggaraan Landskap di Persiaran Persekutuan, Persiaran Utara, Persiaran Barat, Lebuh Sentosa (Jambatan Seri Saujana) dan Lebuh Wawasan (Jambatan Seri Wawasan) Putrajaya.

Pertuduhan pertama, Azizi didakwa menerima suapan wang tunai RM15,000 pada 26 Januari 2006 yang dimasukkan ke dalam akaun Affin Bank miliknya.

Pertuduhan kedua, dia dituduh menerima suapan wang tunai RM10,000 yang dimasukkan ke dalam akaun Affin Bank Bhd miliknya pada 1 Mac 2006.

Pertuduhan ketiga, dia dituduh menerima suapan wang tunai RM10,000 yang dimasukkan melalui cek ke dalam akaun Affin Bank Bhd miliknya pada 7 April 2006.

Pertuduhan keempat, dia dituduh menerima suapan wang tunai RM5,000 yang dimasukkan melalui cek ke dalam akaun Affin Bank Bhd miliknya pada 5 Mei 2006.

Pertuduhan kelima, dia dituduh menerima suapan wang tunai RM15,000 yang dimasukkan melalui cek ke dalam akaun Affin Bank Bhd miliknya pada 14 Ogos 2006.

Pertuduhan keenam, dia dituduh menerima suapan wang tunai RM8,000 yang dimasukkan melalui cek ke dalam akaun Affin Bank Bhd miliknya pada 9 November 2006.

Hakim Mat Ghani Abdullah memerintahkan supaya hukuman penjara terhadap tertuduh, yang didakwa melakukan kesalahan tersebut enam tahun lalu ditambah 30 bulan, jika gagal menjelaskan denda.

Tertuduh diwakili peguamnya Ridzuan Johan Ariffin, manakala SPRM diwakili oleh Timbalan PendakwaRaya Josiendra Abu Senin.

H/daily

Tiada ulasan: